Selasa, 27 November 2007

Memartabat bahasa Melayu patut dikongsi bersama


KECENDERUNGAN meminjam istilah asing untuk diserapkan ke dalam kamus Bahasa Melayu ada kaitan dengan masalah kekurangan pakar bahasa dan istilah dalam pelbagai bidang, sehingga sesetengahnya terpaksa bergantung kepada institusi pengajian tinggi (IPT) atau badan tertentu yang bekerja untuk mencipta istilah baru. Namun, lambakan istilah bahasa Inggeris dalam bahasa Melayu dengan alasan bagi memperkayakan bahasa kebangsaan dan meningkatkan fungsi serba bolehnya dalam arus globalisasi mengundang rungutan dan tidak puas hati pencinta bahasa. Terbaru, perkara ini dibangkitkan Ahli Parlimen Grik, Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh pada sidang Dewan Rakyat kelmarin, apabila beliau menyifatkan Jawatankuasa Istilah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengalami kemandulan minda kerana gagal membuat penyelidikan seperti sarjana dan ilmuwan silam untuk mencari istilah baru bahasa Melayu. Kecenderungan Jawatankuasa Istilah DBP itu didakwa mengakibatkan Kamus Dewan kini menjadi gedung bahasa rojak. DBP, menurut beliau, bertanggungjawab membanteras pemerkosaan bahasa Melayu daripada menular dalam masyarakat kerana ia sebahagian daripada tugasnya dalam usaha memartabatkan bahasa rasmi negara ini. Kebenaran dakwaan Dr Wan Hashim dapat dikesan dalam Kamus Inggeris Melayu Dewan - An English Malaysia Dictionary yang diterbitkan pertama kali pada 1991 dengan 38,000 kata masukan utama dan 50,000 ayat contoh. Kamus setebal 1,945 halaman itu tidak mungkin dapat memberi kepuasan kepada pengguna bahasa Melayu yang penguasaan bahasa Inggeris mereka terbatas. Sebahagian besar daripada istilah bahasa Melayu digunakan dalam kamus itu adalah pinjaman perkataan bahasa Inggeris dengan ejaannya diMelayukan.

Kita mengakui Jawatankuasa Istilah DBP yang turut dianggotai pakar dan sarjana bahasa Melayu berwibawa negara ini arif dengan tugas mereka, tetapi kebimbangan terhadap perkara ini perlu diberi perhatian kerana kita tidak mahu berlaku keadaan sudah terhantuk baru terngadah. Kita juga tidak menafikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang berkembang segar dan perlu bersifat dinamik dengan membuka pintunya kepada bahasa asing. Bagaimanapun, untuk membolehkannya tampil sebagai bahasa serba boleh dalam apa jua bidang, kita perlu memastikan ia menjadi bahasa selesa diguna pakai sepenuhnya. Ditambah pula dalam penggubalan istilah, mereka perlu mengikut peraturan diguna pakai ahli bahasa iaitu mencari padanannya dalam bahasa Melayu terlebih dulu. Hanya selepas ketiadaan istilah dalam dialek Melayu, baru dibenarkan meminjam perkataan daripada bahasa serumpun, tidak kiralah sama ada Minangkabau, Jawa, Sunda mahupun Tagalog. Begitupun, meminjam daripada istilah bahasa asing harus sebagai pilihan terakhir. Amatlah menyedihkan apabila perkataan sedia ada dalam bahasa Melayu untuk snack iaitu jajan (makanan ringan), tetapi istilah ditampil DBP adalah snek. Begitu juga bajet yang hakikat istilahnya adalah belanjawan, manakala konsultasi bermaksud perundingan.

Kita bagaimanapun berharap dakwaan Dr Wan Hashim bahawa Jawatankuasa Istilah DBP mengalami sindrom kemandulan minda tidak menjadikan mereka patah semangat memartabatkan bahasa Melayu. Satu hakikat perlu diakui semua ialah DBP banyak berjasa dalam hal ini. Kesungguhan DBP memperjuangkan jangka hayat dan daya saing bahasa Melayu hingga peringkat serantau dapat dilihat menerusi pembentukan Majlis Bahasa Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia (MABBIM) dan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM). Sehingga kini, 748,978 istilah pelbagai bidang dicipta bagi mengisi perpustakaan ilmu. Apa pun, penciptaan istilah baru dalam bahasa Melayu perlu digalas bersama dan perbuatan saling menuding jari tidak membantu memartabatkan bahasa kebangsaan itu.


Berita Harian 28 November 2007