Serunai, satu alat muzik tradisional Melayu, masih belum lagi ditelan zaman kerana ia masih dimainkan terutamanya masyarakat Pantai Timur. Serunai yang dikategorikan sebagai alat muzik erofon iaitu alat muzik yang menghasilkan bunyi melalui lubang udara itu selalu dimainkan bersama wayang kulit, nobat, menora dan juga gendang silat.
Pemain dan pembuat serunai terkenal di sini, Isa Samad, 66, berkata, walaupun golongan muda sudah didedahkan dengan alat muzik yang lebih moden, serunai tetap tidak dilupakan. Ini terbukti apabila masih ada golongan muda yang sudi datang belajar padanya bagaimana untuk memainkan serunai.
"Setakat ini, pakcik telah diupah oleh Raja Perempuan Kelantan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid untuk membuat dan mengajar mereka yang berminat dengan serunai, selain membuat persembahan di majlis keraian di istana," katanya ketika ditemui Bernama di sini.
PENCAPAIAN
Antara pencapaian beliau ialah membuat persembahan di Perancis, Itali, Australia, Singapura dan beberapa negara lain di bawah program yang dikendalikan Kementerian Pelancongan Malaysia sekitar tahun 70-an. Menurutnya lagi, beliau juga turut dijemput oleh hotel-hotel di seluruh negara bagi membuat persembahan.
Beliau berkata, setakat ini beliau sedang mengajar lima orang remaja lelaki lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di kampungnya yang sangat berminat dengan serunai itu. Isa yang tinggal di Kampung Kebakat, Wakaf Bharu di sini berkata, kemahiran membuat dan bermain serunai itu dipelajari daripada bapa saudaranya 40 tahun yang lalu.
Menurutnya, serunai diperbuat daripada kayu keras seperti kayu nangka, merbau dan cengal yang akan dilarit menjadi bentuk kun dengan bahagian bawahnya berbentuk loceng. "Serunai biasanya mempunyai tujuh lubang memetik di bahagian tengah belakang dan alat tiupan ini mempunyai 4 lapis daun mengkuang atau lontar kering," katanya.
Beliau berkata, kemerduan yang akan dihasilkan nanti bergantung kepada penebukan lubang dan jenis kayunya. Menurut Isa, terdapat beberapa jenis serunai seperti serunai Kedah dan serunai Kelantan yang ukirannya lebih ketara serta diwarnai dengan warna yang terang.
Isa berkata, membuat serunai sekarang lebih senang jika dibandingkan sebelum ini kerana beliau melarit serunai menggunakan sejenis mesin khas yang menjadikan pembuatannya lebih halus dan cantik.
TEMPAHAN
"Pakcik selalu mendapat tempahan bukan sahaja dari negeri ini, tetapi dari serata negara dan biasanya daripada persatuan kebudayaan yang menjadi pelanggan tetap pakcik," katanya. Beliau berkata, harga serunai yang paling murah dijual ialah RM200 dan yang paling mahal bernilai RM400.
Isa berkata, bunyi yang dihasilkan oleh serunai sangat merdu dan beliau mempunyai kelebihan meniup serunai selama setengah jam tanpa henti. Beliau berkata, cara untuk memainkan serunai itu ialah pelidah empat lapis itu dimasukkan ke dalam rongga mulut dan angin ditiupkan melalui pipit.
Menurutnya, pic-pic dikeluarkan dengan membuka atau menutup lubang memetik.
PERNAFASAN
Isa berkata, kaedah pernafasan yang berpanjangan adalah perlu supaya lagu dapat dimainkan sehingga selesai. Beliau berkata, daripada 10 orang anaknya, hanya dua orang sahaja yang mewarisi bakat yang ada pada beliau.
Isa berkata, anaknya, Uji, 40, dan Abdul Rahim, 43, boleh bermain dan membuat serunai sama sepertinya dan mereka juga berbakat dalam membuat wayang kulit. "Pakcik berharap lebih ramai lagi generasi muda yang mempunyai minat untuk mempelajari tentang serunai ini, kalau orang tua seperti kami sudah tiada siapa yang akan mewarisi semua ini nanti," katanya.
Oleh Hazelen Liana Kamarudin
Bernama