Rabu, 28 November 2007

Sorok bom dalam coli


COLOMBO/BAGHDAD: Dua kes pengebom bunuh diri wanita, masing-masing di Sri Lanka dan Iraq, dilaporkan semalam dengan kedua-duanya hanya menyebabkan kematian penyerang dan kecederaan mangsa lain.

DI COLOMBO, seorang wanita cacat yang menyorokkan bahan letupan dalam colinya, meletupkan diri di ibu negara Sri Lanka itu semalam mencederakan sekurang-kurangnya tiga pegawai keselamatan di luar pejabat seorang menteri kanan, kata polis.

Pengebom terbabit disyaki pemisah Harimau Tamil cuba memasuki bangunan yang dikawal ketat yang menempatkan pejabat Menteri Pembangunan Sosial dan Kebajikan, Douglas Devananda, kata mereka.

Bagaimanapun wanita itu kemudian meletupkan diri di luar bangunan.

Menteri terbabit yang sedang mengadakan pertemuan dengan orang ramai sempena hari terbuka, selamat dalam kejadian itu. Dua daripada mereka yang cedera dilaporkan parah dan dibawa ke hospital berhampiran.

"Tiga yang cedera adalah pegawai keselamatan menteri terbabit," kata jurucakap hospital, Pushpa Soysa.

Letupan itu berlaku sehari selepas kumpulan pemisah Harimau Tamil, Velupillai Prabhakaran mengisytiharkan usaha damai Sri Lanka sekadar membuang masa dan berikrar untuk mempertahankan kerajaan sebelum ini.

"Mereka yang merancang memusnahkan bangsa Tamil pada akhirnya akan berhadapan dengan kemusnahan mereka sendiri," katanya.

Dalam ucapan dasar tahunan yang disampaikan dari satu kawasan persembunyian di hutan di utara, Prabhakaran melancarkan satu serangan terhadap majoriti Sinhalese pulau itu.

"Sinhala cuba memusnahkan bangsa Tamil," kata ketua Liga Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE) dalam ucapannya.

Sementara itu, di BAGHDAD, seorang wanita meletupkan diri di utara Baghdad, mencederakan tujuh anggota tentera Amerika Syarikat (AS) dan lima orang awam Iraq.

Kenyataan itu berkata serangan itu berlaku kelmarin berhampiran Baqouba, ibu wilayah Diyala. Wanita berkenaan memakai tali pinggang yang sarat dengan bahan letupan.

Mereka yang cedera dihantar dengan helikopter ke hospital tentera dan pihak berkuasa sedang menyiasat kejadian berkenaan, kata kenyataan tentera.

- AP/AFP