MOSCOW: Seorang lelaki menyamun kek seorang wanita yang lalu lalang, kemudian menyuruh mangsa menghubungi polis supaya dia dapat kembali ke penjara, lapor media Russia kelmarin.
Jurucakap polis di Krasnoyarsk, 4400 kilometer ke timur Moscow, berkata motif jenayah masih tidak jelas tetapi apabila polis tiba di tempat kejadian penyerang memberitahu dia cuma mahu kembali ke penjara, menurut laporan agensi berita RIA.
Selepas memeriksa dokumen lelaki berkenaan, polis menyedari dia baru saja dibebaskan selepas menjalani hukuman penjara 12 tahun. Hasrat pencuri kek itu bakal menjadi kenyataan apabila dia didakwa mencuri yang membawa hukuman tiga tahun penjara.
- Reuters