Rabu, 28 November 2007

Warna gigi tentukan senyuman menarik


LONDON: Senyuman menawan tidak hanya bergantung kepada tahap keputihan gigi tetapi juga beberapa beberapa faktor lain, kata saintis.

Dr Nicholas Davis daripada Fakulti Pergigian Universiti Loma Linda di California Selatan berkata, saiz dan kelebaran tepat setiap gigi, ukuran, warna dan bentuk, serta lebar keseluruhan kawasan mulut juga menjadi penyumbang mendapatkan senyuman menarik.

Dia berasa tahap keputihan gigi perlu berpadanan dengan warna putih mata, jika tidak senyuman terlalu menyerlah.

"Salah satu perkara pertama mengenai senyuman yang orang kesan ialah warnanya. Orang ramai berusaha keras memutihkan gigi dan melakukannya melampaui apa yang sepatutnya semula jadi.

"Gigi sepatutnya sama warna dengan putih mata. Jika gigi terlalu putih, ia menjadi terlalu menyerlah berbanding mata," akhbar Daily Mail memetik Dr Davis sebagai berkata.

Menggambarkan formulanya untuk senyuman sempurna dalam jurnal Dental Clinics of North America, Dr Davis, berkata idea senyuman lebar tidak sepatutnya kurang daripada separuh kelebaran muka, dan kedua-dua bibir atas dan bawah perlu simetrik dengan pertengahan garis muka.

Katanya, baris depan gigi atas perlu lebih menyerlah, manakala barisan depan gigi bawah tidak perlu demikian.

Dr Davis juga berkata, semua gigi perlu selari dan tidak sepatutnya menunjukkan tanda-tanda ia diperbetulkan. Laporan seterusnya mencadangkan saiz gigi perlu menurun dari depan ke belakang.

Gusi tidak perlu ditonjolkan keterlaluan untuk mengelakkan senyuman tidak menarik.

Dr Oliver Harman, pakar pergigian beribu pejabat di London, yang pelanggannya termasuk pelakon Catherine Zeta-Jones, mencadangkan 'rawatan bulanan' kerap untuk membuang kotoran. Katanya, pembedahan kosmetik mahal tidak perlu untuk mendapatkan kesempurnaan senyuman.


- Agensi