NEW YORK: Lebih 1.3 juta penduduk bersamaan seorang dalam setiap enam penghuni bandar raya New York tidak mampu mendapatkan makanan mencukupi, dengan barisan di dapur badan kebajikan untuk mendapatkan sedikit sup semakin panjang, kata kumpulan antikelaparan.
Pertubuhan Pakatan Bandaraya New York Menentang Kelaparan berkata bilangan penduduk yang mengunjungi badan kebajikan di bandar raya itu meningkat sebanyak 20 peratus pada 2007.
Sebahagian pusat pengedaran makanan berhempas pula memenuhi permintaan. Kumpulan itu menyalahkan keadaan itu terutama ke atas peningkatan kelaparan.
"Tinjauan tahunan ke atas pusat pengagihan makanan menunjukkan semakin ramai keluarga bekerja, kanak-kanak dan warga tua terpaksa mendapatkan bekalan makanan kecemasan.
"Disebabkan masalah kelaparan semakin meningkat di bandar raya ini, walaupun ketika ekonomi masih kukuh tahun lalu, tidak hairan hari ini, apabila ekonomi semakin lemah, barisan di pusat kebajikan semakin teruk," kata Pengarah Eksekutif pergerakan itu, Joel Berg.
Beberapa cawangan makanan berkata mereka tidak mampu mengagihkan bekalan ayam belanda untuk perayaan Hari Kesyukuran kelmarin kerana bekalan makanan persekutuan dipotong sehingga tiga perempat.
Bank Makanan, pertubuhan tidak bermotifkan keuntungan yang mengagihkan makanan kepada kira-kira 1,000 pusat, berkata rak mengisi makanan cuma separuh penuh berbanding paras biasa.
Menurut tinjauan, 59 peratus program makanan New York, meningkat dari 48 peratus tahun lalu, berkata mereka tidak mempunyai sumber mencukupi untuk memenuhi permintaan.
Jabatan Pertanian Amerika Syarikat berkata, 12.6 juta isi rumah di seluruh negara, atau lebih 30 juta penduduk bersamaan 10 peratus jumlah keseluruhan rakyat - tidak mendapat makanan mencukupi pada masa tertentu tahun lalu.
- Agensi