Rabu, 28 November 2007

Kepemimpinan Pak Lah untuk kesejahteraan


KATA orang, kepemimpinan seseorang hanya boleh dihakimi selepas dia diberikan kuasa untuk tempoh tertentu. Bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, rakyat kini sudah mula mengenali dan memahami stail kepemimpinannya selepas empat tahun berada di pucuk pimpinan negara. Beliau dilihat sebagai pemimpin adil yang memperjuangkan nasib semua kaum di negara ini. Melalui caranya tersendiri itu, Abdullah yang lebih mesra dipanggil ‘Pak Lah’ diyakini untuk terus memimpin Barisan Nasional (BN) dan negara. Walaupun stailnya didapati agak lembut dan tidak suka terbabit dengan kontroversi, terutama yang berkaitan perhubungan antara kaum, Abdullah tetap berjaya melaksanakan dasar kerajaan dengan berkesan. Jika dulu Tun Dr Mahathir Mohamad memberi tumpuan membina negara secara fizikal, Abdullah memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan dan memerangi rasuah. Program pembangunan negara yang dijalankannya dilakukan seiring dengan pembinaan modal insan kerana beliau percaya negara akan maju jika tenaga pekerjanya terdiri daripada mereka yang berfikiran jauh, berkemahiran dan berdisiplin. Mereka yang berkuasa pula hendaklah melaksanakan tanggungjawab secara jujur dan beramanah serta tidak rasuah. Justeru, ketika mula memegang terajunya itu, tanpa melengahkan masa Abdullah terus memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki sistem penyampaian kerajaan dan memerangi gejala rasuah terutama di kalangan pegawai sektor awam dan polis.

Kerana itu, tidak hairanlah apabila kaji selidik Merdeka Centre, sebuah pusat penyelidikan tempatan baru-baru ini, mendapati kepemimpinan Perdana Menteri dan BN untuk tempoh setahun sejak Oktober 2006 terus berada pada tahap stabil iaitu purata 71 peratus. Penarafan tertinggi dicatatkan di kalangan orang Melayu dengan peningkatan empat peratus kepada 84 peratus berbanding tahun lalu, manakala masyarakat India menunjukkan perubahan positif apabila angka 62 peratus meningkat kepada 79 peratus. Hasil kaji selidik itu boleh dianggap bukti balasan rakyat kepada keikhlasan dan kesungguhan Perdana Menteri sejak menerajui negara terutama peningkatan kualiti hidup rakyat dengan mengutamakan aspek pendidikan, kemahiran dan ekonomi. Dalam melaksanakan program pembangunan, Abdullah mengambil pendekatan lebih berhati-hati agar ia benar-benar dapat memberi faedah secara langsung kepada rakyat. Ini sudah tentunya memakan masa sedikit untuk dilihat hasilnya. Antara projek pembangunan dalam perancangan dan memberi impak kepada rakyat termasuk Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Seperti biasa dalam mana-mana masyarakat atau negara, wujud kelompok yang tidak menyokong atas sebab mereka tersendiri. Dalam kaji selidik berkenaan, kira-kira 29 peratus didapati memihak kepada pembangkang. Kita berpendapat adalah wajar kerajaan memberikan perhatian kepada perkara yang mendorong mereka memilih pembangkang termasuk yang membabitkan dasar kerajaan. Maknanya, kerajaan perlu ada tindakan untuk menangani perasaan tidak puas hati golongan tertentu supaya tidak wujud kelompok yang tidak puas hati atas sebab tertentu di kalangan rakyat. Pentadbiran Abdullah juga terbuka kepada sebarang kritikan termasuk mengenai sistem penyampaian kerajaan yang semakin mendapat perhatian rakyat. Jika kritikan itu boleh membawa kebaikan, adalah lebih elok ia disampaikan kepada kerajaan dengan cara yang baik agar pucuk pimpinan negara dapat melakukan pengubahsuaian yang perlu. Kita berharap momentum Abdullah dalam menerajui kepemimpinan negara akan terus mencapai kejayaan dan rakyat terus memberi sokongan kepada beliau bagi melaksanakan pembangunan tanpa sebarang gangguan seperti demonstrasi yang berlaku sejak akhir-akhir ini.


Berita Harian 29 November 2007