Rabu, 28 November 2007

YouTube 'bunuh' internet 2010?


Satu kajian daripada Nemertes Research Group baru-baru ini mencadangkan bahawa peningkatan penggunaan perkhidmatan video seperti YouTube akan memperlihatkan internet mencapai akhir hayatnya dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Firma kajian itu berkata, kebanjiran kandungan video baru boleh 'melimpahi' web pada tahun 2010, melainkan tulang-tulang belakang penyedia internet melaburkan sehingga 137 bilion dalam kapasiti baru, lebih dua kali ganda daripada apa yang penyedia-penyedia perkhidmatan tersebut rancang untuk laburkan. Di Amerika Utara sahaja, pelaburan antara 42 bilion hingga 55 bilion diperlukan dalam tempoh tiga hingga lima tahun untuk terus memenuhi permintaan, kata Nemertes.

Kajian tersebut merupakan yang pertama mengaplikasikan peraturan Moore dalam aplikasi inovasi The Net, menurut kajian berkenaan.

Kajian tersebut mengesahkan apa yang dibimbangi oleh Internet Innovation Alliance (IIA), sebuah kumpulan yang memberi fokus kepada penaiktarafan rangkaian jalur lebar di Amerika Syarikat, demikian kata Pengerusi Bersama Kumpulan IIA, Bruce Mehlman. Kumpulan yang ahlinya termasuklah AT&T Level 3 Communications, Corning, Americans for Tax Reform dan American Council of the Blind telah mengeluarkan amaran bahawa akan berlaku kebanjiran video melampau dan kandungan web lain dijangka 'menyumbat paip' internet.

Kajian Nemertes mencadangkan permintaan terhadap aplikasi web seperti video streaming dan interaktif serta muat turun lagu akan meningkat sekali gus menuntut lebih banyak kapasiti. Hampir empat pertiga pengguna internet AS menonton purata 158 minit video pada Mei lalu dan menonton lebih 8.3 bilion 'video stream', menurut kajian ComScore, sebuah kumpulan penganalisa.

Pengguna internet akan membentuk 161 exabait data baru pada tahun ini. Exabait adalah bersamaan dengan kira-kira 1.1 bilion gigabait. 1 exabait adalah menyamai kira-kira 50,000 tahun video berkualiti DVD.

"Video telah membuka ruang kepada 'letupan' kandungan internet," kata Mehlman.

"Sudah tentunya, penyedia infrastruktur internet perlu melakukan banyak kerja. Anda melihat pelaburan berbilion ringgit dan anda akan terus melihat berbilion lagi akan dikeluarkan," tambahnya.


-Kosmo!