KONTINJEN Malaysia menamatkan saingan pada Sukan Sea ke-24 di Korat, dengan pencapaian cemerlang merangkul 68 pingat emas untuk tempat kedua keseluruhan di belakang tuan rumah, Thailand yang memungut 183 pingat emas. Ini pencapaian terbaik pernah dicipta di luar temasya Kuala Lumpur dan yang kedua terbaik dalam sejarah Sukan Sea sejak 1959 (ketika itu Sukan SEAP). Sebenarnya, negara boleh memungut pingat emas lebih daripada itu jika tidak kerana pembatalan acara skuasy wanita, ketiadaan pemain badminton utama dan gimnas Ng Shu Wai (pemenang tiga emas pada Sukan Sea Manila dalam acara gimnastik artistik). Berada di tempat kedua juga satu pencapaian mengatasi tempat keempat keseluruhan pada Sukan Sea Manila dua tahun lalu dengan pungutan 61 emas. Pencapaian terbaik Malaysia adalah pada Sukan Sea 2001 di Kuala Lumpur apabila Malaysia muncul juara keseluruhan dengan 111 pingat emas dan pencapaian kedua terbaik sebelum ini dengan 67 emas, juga di Kuala Lumpur pada 1989. Pungutan itu, turut melepasi sasaran yang diletakkan Majlis Sukan Negara (MSN) iaitu 64 emas, selain mengatasi pungutan Manila 2005 iaitu 61 emas. Pencapaian di tangga naib juara itu mengatasi gergasi serantau iaitu Vietnam, Indonesia, Singapura dan Filipina. Kita semua berbangga dengan pencapaian di Korat itu walaupun pada peringkat awal, kita seperti tidak yakin Malaysia mampu mencapai sasaran 64 emas. Tetapi paling penting, kita perlu melihat pembangunan sukan ini untuk jangka panjang. Kita tidak mahu kejayaan untuk jangka pendek, sebaliknya usaha perlu diteruskan supaya kejayaan juga berterusan.
Bagi acara sukan yang gagal menyerlah, kajian teliti perlu dilakukan untuk mengenal pasti masalah yang dihadapi supaya ia diatasi segera. Statistik MSN menunjukkan enam sukan mempamerkan prestasi cukup cemerlang, 10 mencapai sasaran, enam gagal mencapai sasaran, manakala 22 lagi sukan yang tidak dikategorikan sebagai prospek pingat 'menepati ramalan' tanpa menyumbangkan pingat emas. Enam sukan yang mengatasi sasaran adalah akuatik (renang dan terjun), bola keranjang, snuker, ekuestrian, karate dan pelayaran. Bagi sukan yang tidak mencapai sasaran, pencak silat adalah yang paling teruk gagal meraih sebarang pingat emas selepas disasarkan tiga emas, menembak hanya dua (daripada sasaran empat), berbasikal (empat daripada enam), gimrama kurang satu daripada sasaran lima, memanah juga kurang satu, manakala badminton pula gagal meraih sebarang emas daripada sasaran tiga. MSN perlu mengkaji prestasi setiap sukan yang dibiayainya dan membuat keputusan pembiayaan.
Kita tahu MSN sudah memperkenalkan Indeks Prestasi Utama bagi persatuan sukan kebangsaan dan ia pasti akan memberikannya asas untuk penilaian. Persiapan juga perlu dibuat mulai sekarang untuk menghadapi Sukan Asia 2010 dan Sukan Olimpik 2012 selain kekal fokus kepada Sukan Sea 2009 di Laos. Yang pasti, Korat 2007 menunjukkan peningkatan dan bahawa hebatnya atlit kita. Kejayaan ini adalah hasil usaha keras semua pihak terbabit - MSN, Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM), persatuan sukan kebangsaan hinggalah atlit dan lebih manis, ia dicapai ketika kita berdepan masalah kecederaan, pengadilan berat sebelah, masalah dalaman persatuan dan masalah persatuan dengan badan induk antarabangsa. Syabas kontinjen Malaysia!
Berita Harian.