Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
CADANGAN Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya sekolah yang mencatat kelulusan 100 peratus dalam peperiksaan awam, termasuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), diberikan hadiah sebagai insentif untuk meneruskan kecemerlangan pada masa depan, amat dialu-alukan. Menurut Perdana Menteri, hadiah berkenaan boleh diberi dalam bentuk buku atau komputer bagi mendorong pihak sekolah berusaha lebih gigih lagi dalam meningkatkan kecemerlangan pelajar. Cadangan ini memang baik kerana ia boleh memupuk rasa komited seluruh warga pendidik di sesebuah sekolah. Dalam hal ini, rasanya sektor swasta termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) boleh digalak memainkan peranan. Kementerian Pelajaran sendiri sudah mewujudkan insentif tunai bagi penerima Anugerah Sekolah Cemerlang (ASC) berdasarkan pencapaian membanggakan sekolah berkenaan dalam pelbagai aspek termasuk akademik, kokurikulum dan pengurusan, membabitkan peruntukan RM40 juta mulai tahun ini. Justeru, sebagai nilai tambah kepada insentif itu, sektor swasta boleh menokoknya dengan pemberian lain atau dijadikan sekolah angkat GLC, jika perlu untuk terus memacu kecemerlangan sekolah. Sudah pasti, Kementerian Pelajaran mengalu-alukan pembabitan swasta itu apatah lagi jika pihak swasta boleh memberi insentif dalam bentuk peralatan pengajaran dan pembelajaran (PMP) yang dianggap paling sesuai serta dapat dinikmati secara adil oleh seluruh warga sekolah yang menerima insentif berkenaan.
Malah, penajaan swasta juga boleh dibuat dalam bentuk penganjuran kelas tambahan. Tidak dinafikan beberapa syarikat swasta atau badan tertentu sudah memberi pelbagai insentif. Misalnya, Yayasan SP Setia memberi set ensiklopedia dan peralatan komputer kepada sekolah cemerlang. Bagaimanapun, sebelum perkara itu dilaksana dan meminta pembabitan swasta termasuk GLC, kriteria penerimanya perlu diperhalusi supaya hanya sekolah yang benar-benar layak mendapatkannya. Contohnya, UPSR, jika semua pelajarnya mendapat 5C pun, dikira lulus 100 peratus. Justeru, syarat khusus, seperti sekurang-kurangnya 50 peratus pelajar mendapat 5A perlu ditetapkan supaya sekolah yang benar-benar cemerlang akan menerimanya. Bagaimana pula sekolah di luar bandar dan pedalaman? Sudah tentu kriteria berasingan diperkenalkan. Misalnya, jika sekolah luar bandar itu mencatat peningkatan kelulusan dari semasa ke semasa memberangsangkan meskipun bukan lulus 100 peratus, mungkin boleh dipertimbangkan sebagai dorongan bagi kategori sekolah luar bandar. Selama ini, antara hadiah yang popular diberikan kepada pelajar yang mencatat kejayaan cemerlang dalam peperiksaan awam seperti Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selain UPSR ialah wang tunai, pemberian basikal, beg sekolah dan alat tulis.
Bagi Abdullah, sekolah yang mendapat kelulusan 100 peratus dalam semua subjek juga wajar diberikan hadiah sebagai satu insentif kepada sekolah, selain hadiah berupa basikal, beg sekolah dan wang tunai kepada murid yang cemerlang. Apa pun, segala insentif dan pemberian hadiah memang baik untuk menaikkan motivasi pentadbiran sekolah, guru dan pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan. Namun, timbul satu lagi persoalan iaitu bagaimana pula nasib sekolah yang tidak mencatat kecemerlangan, apakah ia nanti akan terasa tersisih, tidak diberi perhatian dan pembelaan sewajarnya. Mungkin elok juga kerajaan memberi penghargaan kepada semua sekolah yang berjaya meningkatkan pencapaian mereka dari semasa ke semasa daripada menumpukan terhadap sekolah yang sememangnya dikenali kerana kecemerlangan mereka. Adalah tidak adil memberi pelbagai penghargaan dan insentif kepada sekolah yang sememangnya terkenal kerana pencapaian baik mereka yang kebanyakannya berada di bandar berbanding sekolah di luar bandar yang sukar mencatat kelulusan 100 peratus.
Berita Harian