NIKMAT perpaduan dan kemakmuran yang dikecapi selama ini wajar dipelihara dan disuburkan dengan menolak segala bentuk ekstremis yang boleh mengancam keharmonian dan kesejahteraan rakyat. Sebagai warga yang prihatin dan waras sewajarnya mengambil iktibar daripada peristiwa pahit yang berlaku di dalam dan luar negara serta bijak menguruskan kepelbagaian kaum supaya terus menjadi aset dan kekuatan kepada negara, bukannya satu liabiliti. Pelihara dan hargai kebebasan bersuara selagi kerajaan membenarkannya dan salahkan diri sendiri jika kerajaan terpaksa bertindak menyekatnya. Justeru, memang kena pada masanya apabila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan kelmarin beliau akan sentiasa mengutamakan keselamatan rakyat berbanding kebebasan awam. Sebagai pemimpin yang bertanggungjawab terhadap rakyat, beliau tidak akan sekali-kali mengambil mudah soal memulihara dan menjaga keamanan. Kita juga tidak boleh mengambil mudah keamanan yang kita dinikmati selama ini. Pemimpin dan rakyat perlu berganding bahu dan saling bertanggungjawab untuk mengekalkan kestabilan politik dan keselamatan yang dinikmati sejak 50 tahun lalu.
Mahu tidak mahu, selain memajukan negara, usaha paling penting ialah membina dan mengukuhkan ikatan perpaduan nasional. Kepelbagaian etnik, agama, adat resam dan budaya di negara ini memerlukan semangat toleransi dan kesefahaman tinggi di kalangan rakyat. Selama setengah abad, kita sudah membuktikan bahawa kita boleh berbuat demikian sehingga negara menjadi maju dan terkenal di persada antarabangsa. Di beberapa negara lain yang bersifat majmuk, konflik dan sentimen perkauman sering menghantui masyarakat mereka. Sebaliknya, kita menunjukkan kebijaksanaan dalam mengurus dan mentadbir masyarakat berbilang kaum melalui keadilan dan kesamarataan. Apa yang penting ialah menyekat apa saja usaha pihak tertentu yang cuba membangkitkan isu perkauman sehingga boleh mencetuskan salah faham dan ketegangan. Ini kerana keselamatan negara adalah sesuatu yang tidak boleh digadai atau dikompromi sama sekali. Ancaman keselamatan bukannya datang dari luar semata-mata, tetapi boleh muncul dari dalam. Antara punca utama ancaman peringkat domestik ialah masalah dan konflik etnik. Apa pun, meja rundingan dan dialog sentiasa dibuka kerajaan. Melalui pendekatan perkongsian kuasa dan politik bertolak ansur, kerajaan berjaya menyelesaikan banyak isu sensitif. Budaya demonstrasi jalanan harus dilihat sebagai kaedah yang boleh mengundang malapetaka dan membawa kepada kehancuran negara. Ia boleh mengundang konflik perkauman dan kerosakan moral generasi muda.
Sebagai usaha berterusan mengawal dan membendung isu sensitif, kita hendaklah terus mengekalkan asas toleransi yang dibina selama ini. Kita sepatutnya menerima dan mempertahankan dasar kerjasama politik. Walaupun kita bebas memilih parti, rakyat perlu berhati-hati dalam memilih. Semangat perlembagaan negara yang mengandungi kontrak sosial perlu terus dipertahankan. Ruang demokrasi untuk rakyat melaksanakan hak mereka mesti dipertingkatkan, namun tuntutan demokrasi yang melampaui batas sehingga mengetepikan soal sensitiviti kaum dan agama yang boleh menimbulkan huru hara dan mengancam keselamatan negara harus dibendung. Suara ekstremis yang boleh menggugat perpaduan dan keselamatan negara hendaklah disekat daripada merebak. Kita tidak seharusnya memberi sebarang ruang kepada anasir subversif meniup isu sensitif dengan berselindung di sebalik kebebasan bersuara. Pembangunan negara perlu bersifat seimbang dengan memberi fokus kepada meningkatkan tahap sosio ekonomi, pendidikan, kualiti hidup dan keselamatan rakyat. Kaum tertinggal harus dibela supaya mereka tidak berpersepsi negatif terhadap kerajaan. Pembangunan seimbang wajar dinikmati semua kaum secara adil dan saksama.
Berita Harian