SESUATU yang tidak ingin terjadi akhirnya berlaku juga apabila lapan terbunuh dalam kejadian bas persiaran merempuh belakang sebuah lori di Plaza Tol Jelapang menghala ke selatan, awal pagi kelmarin. Plaza tol yang terletak di Kilometer 266.3 Lebuh Raya Utara-Selatan mengukir reputasi sebagai 'plaza tol maut' kerana sejak 2003 hingga kini, 12 orang dilaporkan terbunuh dan 74 lagi cedera parah. Nahas itu, dipercayai berpunca akibat kegagalan sistem brek adalah paling buruk di lebuh raya itu setakat ini. Kita ucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban. Apa pun, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mahupun Plus Expressway Sdn Bhd (Plus) tidak perlu menunggu sehingga berlaku satu lagi kemalangan maut atau menyebabkan kecederaan parah di lokasi terbabit. Berdasarkan statistik Plus, hampir separuh daripada kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di situ adalah kenderaan berat dengan kebanyakannya berpunca daripada kegagalan sistem brek. Justeru, satu langkah drastik harus diambil untuk memastikan nahas seperti itu tidak berulang.
Apa pun, kita berasa lega apabila Menteri Kerjaraya, Datuk Seri S Samy Vellu, mengumumkan untuk menutup kedua-dua Plaza Tol Jelapang dan Plaza Tol Ipoh Selatan di KM280 Lebuh Raya Utara-Selatan dengan pertimbangan utama bagi mengelak lebih banyak terkorban. Jaminan menteri berkenaan untuk mempercepatkan proses pemindahan Plaza Tol Jelapang ke kawasan lebih selamat, satu kilometer dari situ dalam tempoh enam bulan memang dialu-alukan semua pihak. Apabila plaza baru itu siap, pengguna lebuh raya dari Kuala Lumpur boleh meneruskan perjalanan ke Pulau Pinang tanpa perlu berhenti membayar tol di Plaza Tol Ipoh Selatan atau mengambil tiket di Jelapang. Penduduk Ipoh yang kini menggunakan laluan 'bebas tol' sepanjang 15 kilometer dari Ipoh Selatan ke Jelapang di lebuh raya itu boleh menggunakan laluan alternatif dua lorong sepanjang lebuh raya itu secara percuma. Sekali imbas, pemindahan plaza tol itu kelihatan sebagai sebaik-baik penyelesaian, tetapi Kerajaan Perak bimbang terhadap kemungkinan boleh menjejaskan ekonomi dan pembangunan negeri itu kerana kenderaan dari selatan ke utara atau sebaliknya dikhuatiri tidak singgah di bandar raya Ipoh hingga menyebabkan ibu negeri Perak itu terpinggir. Menteri Besar, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali, sebaliknya mencadangkan agar Plaza Tol Ipoh Selatan dikekalkan kerana ia tidak mendatangkan sebarang masalah, sebaliknya hanya Plaza Tol Jelapang dipindahkan. Apa pun, terpulang kepada jemaah menteri untuk memutuskan pendekatan terbaik kerana apa juga keputusan yang dibuat nanti adalah demi manfaat pengguna lebuh raya keseluruhannya. Tidak timbul soal siapa yang harus diutamakan sama ada Kementerian Kerjaraya atau Kerajaan Perak kerana matlamat utama ialah keselamatan pengguna bagi mengelakkan angka korban terus meningkat dari tahun ke setahun.
Kita berharap pembinaan plaza tol baru berharga RM260 juta menggantikan plaza tol sedia ada dapat dipercepatkan lebih awal daripada enam bulan seperti dijanjikan. Pihak berkaitan tidak mempunyai alasan lagi untuk melengah-lengahkan kerja. Walaupun pelbagai usaha termasuk memindahkan plaza tol dilakukan untuk menghindar kemalangan maut, apa yang lebih penting ialah sikap pemandu agar lebih berhati-hati dan bersopan ketika memandu selain memeriksa kenderaan sebelum memulakan perjalanan. Nahas di Plaza Tol Jelapang harus dijadikan iktibar untuk memastikan plaza tol di tempat lain juga dalam keadaan selamat. Kita tidak mahu berlaku lagi kejadian sama disebabkan kealpaan pengguna lebuh raya, lebih-lebih lagi sikap pengusaha bas ekspres dan persiaran serta lori tidak mempedulikan keadaan tayar dan sistem brek kenderaan.
Berita Harian