Selasa, 18 Disember 2007

Tindakan ISA demi pertahan keselamatan rakyat, negara


TERKINI, lima pemimpin Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) yang mengetuai perhimpunan haram dan menjalankan kegiatan yang menggugat keselamatan negara ditahan polis di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), semalam. Mereka ialah P Uthayakumar, M Manoharan, R Kenghadharan, V Ganabatirau dan T Vasantha Kumar. Selain mengadakan demonstrasi jalanan pada 25 November bagi mewujudkan kekacauan atas alasan ingin memperjuangkan hak kaum India di negara ini, mereka juga mencemarkan nama baik negara dengan menghantar memorandum kepada Kerajaan Britain dan membuat pelbagai tuduhan terhadap Kerajaan Malaysia dan penduduk beragama Islam mendakwa kononnya rakyat keturunan India dipinggirkan dan berlaku ‘pembersihan etnik’ di negara ini. Sesetengah wakil Hindraf juga berada di luar negara termasuk India untuk meminta bantuan dan mendakwa mereka ditindas di negara ini.

Perbuatan mereka adalah suatu pembohongan dan fitnah yang boleh menjejaskan keharmonian kaum serta menggugat kestabilan politik dan ekonomi negara. Perbuatan mereka juga mengakibatkan ada pelabur asing menangguhkan sementara pelaburan mereka di negara ini sehingga keadaan kembali pulih. Sebilangan pelancong asing juga dilaporkan membatalkan tempahan hotel di ibu kota, angkara segelintir rakyat Malaysia melakukan demonstrasi sejak akhir-akhir ini. Walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah beberapa kali memberi amaran kepada pemimpin Hindraf dan pihak lain supaya tidak meneruskan kegiatan itu, sesetengah mereka tetap tidak mengendahkannya. Perdana Menteri dan Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak cuba mengambil pendekatan tidak terburu-buru untuk mengenakan tindakan ISA. Namun, disebabkan mereka sudah sampai ke tahap yang boleh mengancam keselamatan negara dan mencemar nama baik negara pada peringkat antarabangsa, atas nasihat polis, kerajaan tidak mempunyai alternatif dan terpaksa menahan mereka di bawah ISA sebagai pilihan terakhir. Tindakan itu tidak ada kaitan langsung dengan kaum dan ia diambil semata-mata atas kepentingan rakyat dan keselamatan negara. Sebelum ini pun kerajaan pernah mengambil tindakan ISA ke atas orang Melayu beragama Islam yang didapati terbabit dengan kegiatan al-Maunah, kumpulan al-Arqam, Jemaah Islamiah (JI) dan ketika tercetusnya peristiwa Memali pada 1980-an.

Hakikatnya, kejayaan Malaysia selama ini adalah berkat amalan demokrasi dan perkongsian kuasa yang menghormati dan mendukung undang-undang serta perlembagaan negara. Rakyat juga bebas menyuarakan pendapat termasuk menerusi media tetapi kebebasan itu hendaklah digunakan dengan penuh tanggungjawab. Kerajaan juga melaksanakan pelbagai projek pembangunan mega seperti koridor pembangunan wilayah untuk semua golongan termasuk kaum India dan oleh itu, tidak ada asas bagi Hindraf atau mana-mana golongan untuk mendakwa mereka dipinggirkan. Kita hairan mengapa mereka cuba menggugat kestabilan di Malaysia yang rakyatnya hidup aman dan damai. Penyokong Hindraf sepatutnya membaca kisah kesengsaraan kaum lain di negara luar yang pernah mengalami pembersihan etnik. Tidak perlulah mereka mencari bukti kekejaman yang dilakukan kerajaan kerana ia sememangnya tidak wujud. Jika pembersihan etnik boleh ditakrifkan sebagai diskriminasi kaum atau agama sekali pun, adakah ada kaum di negara ini yang dinafikan hak mereka untuk pergi ke sekolah kerajaan, walau di mana sekali pun mereka berada. Adakah kaum di negara ini dilarang menganuti agama apa sekali pun. Begitu juga, adakah di kalangan rakyat majmuk negara ini dilarang memasuki universiti dan seterusnya tidak dibenarkan bekerja. Hanya dengan menyedari kerjasama semua kaum akan menginsafkan kita betapa selamat dan selesa hidup di bumi bertuah ini.

Berita Harian