Datuk Seri Nazri Aziz
PENUBUHAN Suruhanjaya Aduan Khas adalah langkah pertama kerajaan bagi memastikan kewibawaan polis dan agensi penguatkuasaan terus terjamin kredibilitinya sekali gus meyakinkan orang ramai bahawa mereka menjalankan tugas dengan cekap dan amanah. Walaupun suruhanjaya itu tidak seperti yang dicadangkan Suruhanjaya Bebas Aduan Mengenai Salah Laku Polis (IPCMC), ia adalah langkah permulaan yang baik, sekurang-kurangnya ada juga wadah khusus bagi mengatasi sebarang masalah membabitkan salah laku polis atau agensi penguat kuasa lain. Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz membentangkan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Aduan Khas 2007 di Dewan Rakyat, yang antara membolehkan aduan mengenai salah laku polis dan pegawai semua agensi penguat kuasa disiasat, diberi kuasa memasuki, menggeledah dan menyita premis serta memberhentikan kenderaan tanpa waran. Rang undang-undang itu diperkenalkan hasil syor Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia turut membabitkan semua pegawai penguat kuasa lain.
Adalah tidak adil mengkhususkan suruhanjaya berkenaan untuk menerima aduan salah laku polis saja kerana banyak aduan turut diterima membabitkan agensi penguat kuasa lain seperti Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Imigresen. Justeru, rang undang-undang itu sudah pasti memberi kelebihan kepada orang awam untuk mengemukakan aduan salah laku pegawai agensi berkenaan, menjadikan bidang penguatkuasaan kini lebih terbuka dan sentiasa dipantau oleh mata dan telinga rakyat. Ia juga bertujuan menjadikan perkhidmatan agensi kerajaan lebih telus dan mesra pelanggan ketika berurusan dengan orang awam. Salah satu aspek yang menjadi perhatian ramai ialah rasuah tetapi dalam rang undang-undang berkenaan, aspek salah laku itu tidak dinyatakan dan orang awam hanya boleh mengemukakan aduan kepada suruhanjaya itu dan terserah kepada budi bicara suruhanjaya memanjangkan aduan berkenaan kepada agensi lain yang lebih berkuasa seperti Badan Pencegah Rasuah (BPR). Suruhanjaya berkenaan pula akan menimbang apa juga aduan yang dibuat sama ada bertulis atau lisan tetapi boleh menolak aduan yang membabitkan prosiding pihak berkuasa tatatertib, mahkamah serta yang sudah diputuskan mahkamah dan sedang dalam penyiasatan.
Memandangkan akta itu kini sedang dibincang pada peringkat Parlimen, menjadi tanggungjawab Ahli Dewan Rakyat memperhalusi rang berkenaan dan memberi input munasabah bagi menjadikan suruhanjaya khas itu lebih berkesan dan mempunyai 'kuku' untuk mengambil tindakan. Andainya wujud kelemahan atau kekurangan di dalam cadangan berkenaan, inilah masanya bagi Ahli Dewan yang mulia itu membaiki dan menambah baik dengan mengambil kira pandangan orang awam. Apapun, kita percaya, pelbagai pihak menyambut baik penubuhan suruhanjaya itu dan berharap ia akan menjadi permulaan positif memastikan agensi kerajaan termasuk polis bersikap telus dan berwibawa sehingga tidak diperlekehkan orang ramai. Penubuhan suruhanjaya itu juga menjadi langkah positif ke arah meningkatkan imej dan mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap agensi penguatkuasaan negara. Apa pun, kita berharap semua pihak memberi peluang kepada suruhanjaya berkenaan membuktikan keupayaan mereka menjalankan amanah yang diberikan.
Berita Harian