Selasa, 18 Disember 2007

Banjir Bukan Masa Untuk Berpesta


Hingga ke hari ini, banjir yang melanda Kelantan, Johor, Pahang dan Negeri Sembilan terus meletakkan pihak yang terbabit dalam keadaan berjaga-jaga. Bilangan mangsa yang terpaksa dipindahkan turut bertambah kepada 29,176 orang. Manakala hingga ke hari ini, korban banjir yang melanda sejak Sabtu lalu meningkat kepada 22 orang.

Apa yang sangat menyedihkan sepanjang minggu yang lalu kerana korban banjir bukanlah disebabkan kesan banjir, sebaliknya berpunca daripada sikap terlalu ghairah bermain air di sungai dan tali air. Keseronokan menyambut 'pesta air bah' itu mendapat komen daripada Menteri Besar Kelantan sendiri, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang meminta penduduk Kelantan menghentikan budaya 'pesta air bah' tersebut.

Bahkan, Ketua Polis Kelantan, Datuk Abd Rahim Hanafi seperti yang dilaporkan akhbar melahirkan rasa kesal dan marahnya terhadap sikap ibu bapa yang membiarkan anak bermain banjir yang menjadi punca kematian akibat dihanyutkan arus. Kecuaian yang boleh dielak tetapi sengaja dicari. Kita akur, malang memang tidak berbau malah kemalangan juga satu perkara yang melibatkan takdir. Namun, sikap sambil lewa itulah yang sebenarnya boleh membawa kemudaratan.


BUKAN TIDAK TAHU, TETAPI TIDAK KISAH

Air juga seperti api. Boleh menjadi lawan apabila ia semakin besar. Namun, sebelum terkena, adalah lebih baik jika mereka beringat-ingat. Di sesetengah kawasan, banjir yang datang setahun sekali disambut bagaikan pesta. Inilah masanya ikan air tawar melimpah-ruah, menyebabkan ramai yang keluar menjala ikan. Baik kanak-kanak mahupun orang dewasa, peluang meranduk dan bermain air tidak mungkin dilepaskan.

Lebih hebatnya apabila laporan di akhbar-akhbar tempatan turut memaparkan keghairahan ibu bapa membawa anak-anak bermain air hingga ada yang membawa pelampung! Agak menghairankan apabila orang dewasa sendiri walaupun tahu musibah yang boleh berlaku, mereka mengambil jalan bersikap tidak kisah.

Bagi yang gian merempit pula, banjir bagaikan gelanggang buat mereka menunjukkan kemahiran merempit di dalam banjir.

Setiap hari, laporan akhbar menunjukkan jumlah mangsa yang dipindahkan kian meningkat. Terkini, jumlah keseluruhan mangsa banjir di keempat-empat negeri yang dipindahkan telah meningkat hampir ke angka tiga puluh ribu.

Bukan sekali, malah telah berkali-kali diingatkan supaya tidak bermain dengan air banjir, namun, bagi mereka yang belum terkena, peringatan bahaya banjir yang diuar-uarkan oleh pihak penyelamat seperti polis dan bomba berlalu begitu sahaja bagaikan arus air banjir yang mengalir deras.


BAHAYA BANJIR

Menurut Pegawai Luar Kakitangan Bertugas Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM), Nasir Khan Abd Rahman, keseronokan bermain banjir kadangkala boleh melekakan, tanpa menyedari bahaya yang bakal menimpa. Banjir bukan sahaja mengundang bahaya lemas dibawa arus, tetapi juga boleh membawa padah apabila terdedah kepada ancaman gigitan haiwan berbisa seperti ular dan penyakit-penyakit seperti masalah kulit dan juga cirit-birit.

Selain itu, mangsa banjir juga dinasihati supaya menjaga kesihatan. Lebih-lebih lagi air banjir bukanlah air yang bersih. Ia telah dicemari dengan pelbagai kotoran termasuklah air kumbahan yang melimpah keluar.

"Keadaan air yang tidak bersih boleh mendatangkan masalah penyakit kulit, keadaan sampah-sarap yang terkumpul sebelum dibersihkan juga menjadi punca penyakit yang menggugat kesihatan," jelas beliau.

Menurutnya, jika ada mangsa banjir yang terjatuh dan terminum air banjir, tindakan segera ialah mendapatkan rawatan di klinik atau pusat kesihatan yang terdekat. Dibimbangi kuman yang bercampur di dalam air kotor itu boleh membawa masalah kembung perut dan cirit-birit.

Antara perkara yang perlu dititikberatkan juga ialah tentang kebersihan diri. Sambil menasihatkan mangsa banjir supaya tidak sewenang-wenangnya membersihkan diri ataupun makanan dengan air banjir, Nasir turut meminta mereka menggunakan air mineral yang dibekalkan oleh pihak penyelamat serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Bagi membantu mangsa banjir, PBSMM kini telah meningkatkan lagi bantuan-bantuan seperti penghantaran bot dan ambulans ke kawasan-kawasan yang terputus hubungan.

Selain membantu pasukan bantuan daripada Jabatan Kesihatan, pasukan ini turut menempatkan petugas sukarela yang bertugas selama 24 jam secara bergilir. Sehingga kini, menurut Nasir, seramai 30 orang anggota telah ditugaskan di Johor, 80 orang di Kelantan, 40 orang di Pahang dan 20 orang di Terengganu.

Oleh Nurul Halawati Azhari
Bernama