Perhimpunan haram yang dianjurkan oleh Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) di ibu negara baru-baru ini menunjukkan proses perpaduan yang mantap tidak dapat lari daripada pelbagai masalah dan kendala. Perhimpunan itu menunjukkan isu agama, jurang ekonomi, serta hak istimewa Bumiputera masih merupakan cabaran utama dalam usaha mengukuhkan perpaduan kaum walaupun negara sudah merdeka hampir separuh abad.
Walau apa pun tujuan perhimpunan itu, ia mengejutkan negara dan menunjukkan isu-isu perlu ditangani dengan bijak oleh semua pihak dan masyarakat majmuk di negara ini perlu lebih memahami antara satu sama lain. Rakyat perlu ingat, yang Malaysia terus makmur dan berjaya sebagai sebuah negara membangun berlatarbelakangkan kepelbagaian etnik hingga dijadikan contoh oleh negara-negara lain.
Sungguhpun demikian, kemakmuran itu membuatkan ada yang alpa akan kepentingan menjaga hubungan antara etnik secara berterusan.
TINDAKAN HINDRAF MENGUNDANG BAHAYA
Peristiwa 13 Mei bukti betapa serius akibatnya apabila ada pihak yang menghasut.
Walaupun tuduhan berunsur hasutan yang dilemparkan oleh Hindraf terhadap kerajaan tidak berasas, ia tetap menyebabkan masyarakat berasa cemas. Warga Malaysia juga pasti sedar betapa mudah hubungan kaum terancam seperti yang mereka saksikan ekoran pergolakan antara kaum di Kampung Medan, Petaling Jaya pada 2001.
Mujur, ia berjaya dikawal daripada merebak oleh pihak berkuasa dan masyarakat Kampung Medan kembali aman malah kehidupan mereka juga sudah jauh berubah.
PENDUDUK KAMPUNG MEDAN CEMAS DENGAN DAKWAAN HINDRAF
Enam tahun selepas peristiwa hitam itu, penduduk Kampung Medan resah kembali dengan kemunculan Hindraf dan dakwaannya yang kerajaan mengamalkan dasar pembersihan etnik serta pembunuhan beramai-ramai kaum India di negara ini. Dakwaan itu pastinya mencemarkan nama baik Malaysia yang selama ini dijadikan contoh oleh negara membangun yang melihat Malaysia mencapai kemakmuran bersama masyarakat majmuknya.
Tetapi yang lebih membimbangkan lagi tindakan itu boleh menghidupkan kembali sentimen perkauman yang telah susah payah dibendung. Kebimbangan penduduk Kampung Medan bertitik tolak daripada khabar angin yang menyatakan tindakan Hindraf mendapat sokongan daripada kaum India yang menetap di Kampung Medan.
Sedangkan bagi penduduk di kawasan itu, mereka sama sekali tidak mahu pisang berbuah dua kali.
KAMPUNG MEDAN AMAN DAMAI
Bagi Zainol Hamid, 56, komuniti majmuk di Kampung Medan hidup aman damai berkat sikap toleransi yang diamalkan.
Ketika ditemui Bernama, Zainol melahirkan rasa bimbangnya sekiranya hasutan yang dicetuskan oleh kumpulan itu mempengaruhi penduduk di situ.
"Kita bimbang apabila dengar khabar angin mengatakan hasutan itu melarat ke sini. Sebenarnya, kami hidup dengan aman damai. Di sini, kami sentiasa memelihara keamanan supaya masing-masing boleh hidup dengan aman," jelasnya.
Tambahnya, yang lebih membimbangkan lagi ialah kedatangan orang luar yang mengganggu ketenteraman seperti apa yang berlaku enam tahun dulu. Kadangkala bukan isu perkauman yang menjadi punca, tetapi ada pihak yang mengambil kesempatan menggunakan samseng dan remaja bermasalah untuk mencetuskan perbalahan.
Beliau yang menetap di situ selepas peristiwa 13 Mei berkata penduduk Kampung Medan sentiasa bersedia untuk keamanan bukannya perbalahan yang merugikan.
"Hindraf atau apa sahaja bentuk perkumpulan yang menjurus kepada tercetusnya perbalahan etnik, kami tidak mahu campur dan tidak mahu ambil tahu. Cukuplah dengan apa yang telah berlaku dahulu.
"Baik orang Melayu mahupun orang India, kami sama-sama mempunyai ahli keluarga yang disayangi serta harta benda untuk dipelihara. Masing-masing menjaga keharmonian kawasan ini supaya boleh hidup dalam suasana yang muhibah," katanya.
JANGAN MENANGGUK DI AIR KERUH
Sambil berharap tidak ada pihak luar yang menangguk di air keruh, Zainol turut menyatakan penduduk Kampung Medan sering menjalankan aktiviti kemasyarakatan bersama-sama bagi mengeratkan silaturahim seperti aktiviti bergotong-royong membersihkan kawasan penempatan itu.
Selain itu, mereka disarankan supaya tidak hanya berkumpul sesama sendiri sebaliknya meluaskan pergaulan dalam komuniti.
Apa yang penting bagi penduduk Kampung Medan ialah bagaimana untuk mereka hidup bersama sebagai satu keluarga besar, kehidupan yang memerlukan toleransi, rasa hormat dan saling memahami antara satu sama lain. Tinjauan Bernama melihat kanak-kanak bermain dengan bebas di kawasan tanah lapang, suri rumah berbangsa India dan Melayu ramah bertegur sapa sewaktu bertemu di kedai runcit milik seorang peniaga India, bukti nyata penduduk Kampung Medan menghargai makna muhibah.
Sementara itu S. Mathan, 21, yang bekerja di kedai runcit itu, berkata tidak timbul sebarang masalah lagi selepas peristiwa itu. Beliau yang baru dua tahun menetap di situ tidak berasa bimbang akan keselamatan dirinya.
"Sejak menetap di sini, belum pernah saya menghadapi masalah antara kaum. Rata-rata penduduk nampaknya begitu menjaga keharmonian dan saling hormat-menghormati. Pihak berkuasa juga sentiasa melakukan rondaan dan pemantauan. Ini menyebabkan kita rasa lebih selamat," jelas Mathan.
Katanya lagi kemudahan yang diberikan serba lengkap dan dinikmati oleh semua kaum dengan saksama.
Laporan Khas Oleh Nurul Halawati Azhari dan Soraya Jamal
Bernama