Rabu, 26 Disember 2007

BN mesti ambil serius pandangan membina



MENJELANG pilihan raya umum atau pilihan raya kecil, istilah ‘kawasan panas’ kerap diguna pakai bukan saja oleh media massa, malah bilik gerakan parti politik sama ada Barisan Nasional (BN) atau pembangkang. Ini kemudian disusuli istilah seperti ‘hitam’ (bahaya), kelabu (masih ada harapan atau 50-50) dan putih (boleh menang). Ada kalanya hitam bertukar kepada kelabu dan putih, begitu juga sebaliknya. Dalam satu temu bual eksklusif dengan akhbar China Press baru-baru ini, bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin menyenaraikan Selangor, Pulau Pinang dan Kedah sebagai ‘kawasan panas’ yang perlu diberi tumpuan oleh kerajaan menjelang pilihan raya umum. Menurut bekas Bendahari Agung Umno itu, berdasarkan kepada maklum balas orang ramai yang diperolehnya, kerajaan perlu memberi perhatian kepada penyelesaian isu semasa di negeri berkenaan sebelum pilihan raya umum. Beliau tidak memberikan butiran terperinci tetapi menyatakan pola semasa menunjukkan ada rakyat, khususnya daripada golongan pendapatan sederhana di Selangor yang tidak gembira dengan sesetengah keputusan kerajaan. Ketika mengulas kenyataan Daim, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, kerajaan akan terus memberi perhatian lebih kepada negeri tertentu yang dikaitkan sebagai ‘kawasan panas’ yang memerlukan penumpuan menjelang pilihan raya umum akan datang. Abdullah berkata, selain tiga negeri terbabit iaitu Kedah, Selangor dan Pulau Pinang seperti didakwa, tumpuan terhadap isu rakyat lain tetap diutamakan. Oleh itu, adalah menjadi tugas Menteri Besar dan Ketua Menteri di tiga ‘kawasan panas’ itu untuk melakukan tugas bagaimana menjadikan ‘kawasan hitam’ supaya menjadi ‘kelabu’ dan seterusnya ‘putih’. Walaupun dakwaan kewujudan kawasan ‘panas’ itu belum dipastikan kesahihannya, Umno dan BN di kawasan terbabit perlu memberi perhatian dan menangani sebarang permasalahan timbul.

Kita percaya semua badan perhubungan Umno dan BN negeri termasuk tiga negeri terbabit sudah mengadakan perbincangan bagi mengenal pasti sebarang isu dan mencari jalan penyelesaian supaya tidak timbul masalah apabila pilihan raya diumumkan nanti. Hakikatnya, tidak semua isu boleh diselesaikan dalam sekelip mata dan walaupun ketika ini mungkin tiada isu besar di sesuatu negeri, timbul pula isu baru menjelang pilihan raya. Oleh itu, menjadi tugas wakil rakyat sama ada Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri untuk turun padang sekerap mungkin bagi mendengar rintihan rakyat. Kadang kala isu remeh yang tidak sepatutnya menjadi isu, akan tenggelam begitu saja sebaik muka wakil rakyat datang menjenguk mereka lebih-lebih lagi dalam keadaan bencana seperti banjir. Seperti kata Perdana Menteri, wakil rakyat perlu turun padang sekerap mungkin supaya segala masalah timbul boleh diselesaikan dengan sebaik mungkin. Walaupun cuma tiga negeri dikatakan panas, bukan bermakna negeri lain tidak menjadi ‘panas’ kerana apa saja boleh berlaku. Kita tahu parti pembangkang Pas memang sejak dua pilihan raya umum lalu mengidamkan Kedah selain Selangor, manakala DAP mahu menumbangkan Gerakan di Pulau Pinang. Parti pembangkang cuba menguasai kawasan baru, bukan lagi kawasan tradisi seperti Kelantan dan Terengganu yang pada pendapat mereka, masih menjadi kubu kuat Pas. Walaupun kalah teruk di Terengganu pada pilihan raya umum lalu, Pas tetap berangan dan mencari isu besar yang boleh memberi harapan kepadanya merampas kembali negeri itu. Kita berharap, menjelang pilihan raya umum akan datang, sebarang pandangan membina perlu diberi perhatian serius semua pemimpin parti komponen terutama di peringkat akar umbi kerana sebarang langkah sambil lewa boleh menjejaskan prestasi BN.

Berita Harian