SURUHANJAYA Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan mengkaji untuk menyelaraskan 15 kategori caj yang dikenakan operator air di seluruh negara apabila Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) atau WSIA berkuat kuasa 1 Januari depan. Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik, berkata selain mengkaji penyelarasan itu, SPAN juga akan mengawal selia kadar dan caj berbeza dikenakan di setiap negeri demi kepentingan pengguna air. Bagaimanapun, cadangan untuk menyelaraskan caj itu akan mengambil masa kerana ia memerlukan kajian komprehensif. Kita berharap, apabila caj itu dikaji nanti, ia tidak membebankan pengguna terutama pengguna individu.
SPAN boleh mencontohi langkah Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang mengenakan caj berbeza bagi kegunaan komersial dan kediaman iaitu mereka yang menggunakan banyak bekalan elektrik seperti kilang dikenakan caj lebih tinggi daripada penggunaan kediaman. Air dan bekalan elektrik adalah kemudahan asas yang amat perlu setiap hari. Sebarang kenaikan caj tidak harus membebankan pengguna biasa di samping memastikan kualiti air yang dibekalkan.
Kita tidak mahu pengguna membayar harga tinggi termasuk bagi sektor perkilangan dan industri tetapi mutu air yang dibekalkan tidak seberapa. Sampai bila, kita sebagai pengguna biasa terpaksa membeli perkakas tambahan untuk menapis air yang dibekalkan ke rumah. Pengguna terpaksa berbuat demikian kerana tidak yakin dengan kualiti air yang kadangkala berwarna serta rasa lain.
Operator air boleh mendakwa loji rawatan air mereka tercanggih dan air yang diproses adalah bersih serta bermutu, tetapi bagaimana pula dengan paip air yang disalurkan dari loji itu ke kediaman pengguna. Sesetengah paip yang sudah bertahun tertanam di bawah tanah itu berkarat dan air yang melaluinya boleh memudaratkan kesihatan pengguna. Oleh itu, pengguna terpaksa membeli sendiri perkakas bagi menyuling air di rumah sebagai tapisan sebelum boleh diminum.
Pihak berkuasa terutama SPAN perlu memikirkan soal ini apabila mengenakan kadar caj baru bekalan air nanti. Antara caj yang dikenakan operator air sekarang ialah bayaran permohonan kelulusan pelan bagi pembangunan baru, pemasangan meter baru, deposit bekalan air, pengujian meter, pemotongan meter dan penyambungan semula bekalan air.
Caj lain termasuk penggunaan air dari pili bomba dan bayaran sumbangan modal. Kita berharap tarif air yang dikenakan operator di setiap negeri akan dikekalkan dan semakan hanya dibenarkan selepas SPAN berpuas hati operator pembekalan mematuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan dan dipantau suruhanjaya itu. Sebelum ini, dilaporkan, Akta 655 tidak membenarkan pemegang lesen pembekalan air menaikkan tarif air secara automatik.
Penubuhan SPAN diharap boleh menangani segala permasalahan berkaitan kualiti air dan kadar tarif itu nanti supaya akhirnya pengguna mendapat manfaat, bukan dibebani air kurang bermutu dan tarif yang tidak munasabah. Inilah antara cabaran utama struktur baru industri air negara iaitu meningkatkan kualiti dan kecekapan perkhidmatan operator air dan pembetungan. Cabaran lain yang perlu diberi perhatian, termasuk keperluan mewujudkan mekanisme bagi membolehkan pengguna memberi maklum balas kepada Kerajaan Persekutuan dan negeri mengenai tahap kepuasan pengguna sama ada dari aspek caj atau kualiti perkhidmatan.
Berita Harian