Rabu, 26 Disember 2007

Kerjasama kaum kekuatan Malaysia sejak merdeka


SEJAK sekian lama, isu berkaitan kaum dan agama di negara ini yang rakyatnya bersifat majmuk tidak dibincang secara terbuka kerana dianggap perkara sensitif. Pengalaman rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 dan beberapa kes lain seumpamanya selepas itu membuktikan betapa rapuhnya perpaduan di negara ini apabila berlaku sesuatu angkara tindakan individu atau pemimpin kaum yang tidak mengambil kira perasaan kaum atau penganut agama lain. Lebih membimbangkan ialah apabila sesuatu insiden itu dibincang pula oleh golongan ekstrim yang kononnya ingin menjuarai isu atau kaum masing-masing. Kerana itu, kita masih percaya dalam senario kehidupan masyarakat yang berbilang kaum dan agama, pendekatan lembut, bertolak ansur dan diplomatik masih menjadi cara terbaik dalam menyelesaikan sesuatu isu membabitkan kaum dan agama. Setiap pemimpin kaum seharusnya berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan atau pandangan supaya tidak menyentuh perasaan pihak lain, sekali gus menjejaskan perpaduan yang rapuh itu. Kita setuju dengan pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam perutusan khasnya sempena sambutan Krismas kelmarin bahawa budaya ekstrim tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya hanya mencetuskan kekacauan serta kekeruhan yang akhirnya memberi kesan kepada masa depan negara. Sebagai rakyat, kita tidak harus memberi ruang kepada puak pelampau itu mempengaruhi kita apalagi mengangkat mereka menjadi juara dalam memperjuangkan isu berkaitan kaum dan agama.

Selepas 50 tahun merdeka dengan rakyat negara ini secara umumnya menikmati kemakmuran dan kemewahan, kita tidak mampu memperjudikan nasib dan masa depan negara dengan menyokong sebarang tindakan oleh golongan pelampau sama ada kaum atau agama. Negara akan menanggung akibat lebih buruk jika budaya melampau ini tidak dibendung daripada sekarang. Kita juga tidak sanggup melihat kesan tindakan melampau segelintir individu itu terus menular dan berakar umbi di kalangan majoriti rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan kestabilan. Tidak ada gunanya kita membangunkan sebuah negara yang maju, stabil dan aman yang kemudiannya dimusnahkan oleh puak pelampau yang tidak menghormati orang lain. Mereka melakukan sesuatu hanya kerana ingin memuaskan nafsu dan perjuangan sempit tanpa menghiraukan kepentingan orang lain. Kita lihat negara asing yang sering dilanda penentangan oleh golongan ekstrim sentiasa menghadapi masalah ketidakstabilan dan kacau bilau. Kita tidak ingin negara kita menjadi seperti negara mereka yang sering dilanda masalah, pergaduhan dan pertelingkahan.

Sempena dengan tahun baru 2008 ini, eloklah kita memperbaharui azam dan tekad untuk terus hidup sebagai sebuah masyarakat yang saling memahami antara satu sama lain dengan meletakkan kepentingan negara di hadapan. Seperti yang ditegaskan Perdana Menteri, setiap rakyat hendaklah berusaha membina satu tahap pemahaman yang tinggi terhadap setiap agama dan budaya di negara ini. Adalah penting semua golongan rakyat di negara ini menolak segala bentuk keganasan kerana ia bukan cara kita. Semangat kerjasama, tidak mementingkan diri dan saling memahami kaum lain adalah kekuatan yang telah membina Malaysia selama ini sejak sebelum merdeka lagi. Walaupun pandangan sempit dan perasaan tidak toleran yang ditonjolkan oleh sekumpulan kecil akhir-akhir ini menguji keyakinan kita terhadap satu sama lain, kita tidak boleh membiarkan mereka meneruskan agenda jahat itu. Sambutan hari kebesaran pelbagai kaum di negara ini yang diraikan secara bersama dalam suasana harmoni adalah manifestasi dan simbol persahabatan yang cukup bermakna. Kita tidak boleh membiarkan golongan tertentu memusnahkannya.

Berita Harian