KEGIATAN membuat salinan perisian komputer secara haram atau menggunakan perisian cetak rompak untuk kegunaan kakitangan bagi mana-mana syarikat swasta, kini bagaikan satu kebiasaan dalam dunia korporat. Tidak hairanlah apabila sebuah firma multinasional yang disenaraikan di Pasaran Mesdaq adalah antara 55 syarikat yang disiasat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna kerana dipercayai menggunakan perisian cetak rompak. Syarikat multinasional yang beribu pejabat di Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya itu, mengusahakan pembangunan perisian serta produk teknologi, maklumat dan komunikasi (ICT). Syarikat terbabit diserbu Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, bulan lalu selepas menerima maklumat orang ramai. Kini pihak kementerian itu masih menyiasat sebelum mengambil tindakan terhadap syarikat terbabit dan ahli lembaga pengarahnya. Ia adalah kes kedua membabitkan syarikat multinasional. Tahun lalu sebuah syarikat yang disenaraikan di Papan Utama, Bursa Malaysia juga didakwa kerana menggunakan perisian cetak rompak. Sejak Januari lalu, sebanyak 32 serbuan dilakukan membabitkan 55 syarikat di sekitar Lembah Klang. Dalam operasi itu, 1,361 salinan perisian komputer cetak rompak dan 186 komputer serta perkakasan bernilai RM4.5 juta, dirampas. Kebanyakan syarikat itu terbabit dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan profesional, seperti pengeluar perabot, firma arkitek, perunding rekaan, pembangun perisian dan teknologi maklumat (IT).
Sepanjang tahun ini, kementerian itu memfailkan 10 kes untuk didakwa dan daripada jumlah itu, lima kes membabitkan syarikat, manakala selebihnya ahli lembaga pengarah syarikat. Pemilik atau pengarah urusan syarikat terbabit juga didakwa mengikut Akta Hak Cipta 1987 yang boleh didenda sehingga RM20,000 bagi setiap unit perisian komputer cetak rompak yang dirampas. Malah, masih ada syarikat gergasi termasuk berstatus Koridor Raya Multimedia (MSC) melanggar peraturan hak cipta dengan menggunakan perisian cetak rompak untuk kegunaan kakitangan mereka. Misalnya, awal tahun lalu, sebuah syarikat penyedia pembekal penyelesaian teknologi berstatus MSC di Petaling Jaya dikesan menggunakan perisian cetak rompak, membabitkan penemuan 36 perisian bernilai RM75,000. Apa pun, sikap rakyat negara ini yang cenderung membeli perisian cetak rompak sebenarnya boleh menyebabkan ekonomi negara terjejas dan mempengaruhi minat pelabur. Orang ramai perlu dididik untuk membeli perisian tulen, bukannya cetak rompak. Malah, kecenderungan orang ramai itu turut menyebabkan kreativiti pihak terbabit dalam bidang perisian di negara ini turut terbantut.
Berdasarkan rekod, Malaysia mencatatkan penurunan aktiviti cetak rompak perisian sebanyak satu peratus kepada 60 peratus dengan nilai kerugian kepada industri perisian tempatan sebanyak AS$149 juta tahun lalu. Penurunan itu adalah berikutan kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna secara berterusan melancarkan kempen Ops Tulen sejak 2002. Kajian tahunan terhadap aktiviti cetak rompak perisian global yang dilaksanakan International Data Corp (IDC) mendapati 35 peratus daripada perisian yang dipasang dalam komputer di seluruh dunia pada 2005 adalah perisian cetak rompak dengan anggaran kerugian AS$35 bilion. Satu lagi masalah timbul ialah kegiatan pengeluaran cakera video digital (DVD) cetak rompak. Mungkin elok rasanya kerajaan menguatkuasakan peraturan mewajibkan pemilik perisian pencetak atau 'burner' pada komputer mendapatkan lesen khas sebagai langkah memerangi kegiatan pengeluaran DVD cetak rompak.
Berita Harian