Rabu, 5 Disember 2007

Firma tempatan perlu tingkat usaha raih anugerah Forbes


SETIAP tahun, 50 syarikat terbesar dan terbaik di rantau Asia Pasifik diberi penghormatan dan pengiktirafan sebagai sebuah syarikat Fabulous 50 oleh majalah Forbes. Pemilihan itu dibuat berdasarkan kajian teliti senarai syarikat terbesar dunia berdasarkan kadar komposit jualan, keuntungan, aset dan nilai pasarannya. Forbes juga mengenal pasti syarikat yang berdaya tinggi dari segi prestasi yang diurus tadbir dengan baik sehingga menjadi contoh dalam bidang masing-masing. Pada era globalisasi sekarang, pengiktirafan oleh majalah perniagaan antarabangsa itu amat penting dalam membantu syarikat berkenaan dari segi penjenamaan, sekali gus mengembangkan sayap perniagaan pada peringkat global. Walaupun ketika ini hanya sebuah syarikat dari Malaysia iaitu IOI Corporation Berhad berjaya disenaraikan dalam 50 syarikat terbaik Asia anjuran majalah Forbes, tidak mustahil dengan rekod dan prestasi korporat serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC), banyak lagi firma tempatan yang mampu disenaraikan dalam barisan syarikat terbaik di Asia.

Kerajaan sudah memulakan program transformasi GLC sejak tiga tahun lalu dan kini permodalan pasaran 20 syarikat berkaitan kerajaan teratas meningkat lebih 83 peratus atau kira-kira RM121 bilion sehingga bulan lalu. Dalam tempoh yang sama, pulangan terhadap pemegang saham oleh GLC mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul 24.4 peratus, lebih baik daripada Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) sebanyak 3.3 peratus. Ini menunjukkan bahawa usaha Malaysia untuk memperkasakan GLC dengan memperkenalkan petunjuk prestasi, mengukuhkan lagi kawal selia korporat dan melaksanakan banyak langkah pemulihan termasuk membawa masuk kepemimpinan baru menyuntik tenaga dan idea baru yang membuahkan hasil. Lebih daripada itu, Malaysia juga memulakan langkah untuk memupuk kecemerlangan dan keterbilangan dengan melakukan gabungan syarikat secara strategik seperti menggabungkan CIMB Investment Bank dengan Bank Bumiputera Commerce bagi mewujudkan sebuah bank universal yang bakal menjadi badan korporat serantau.

Satu lagi contoh terbesar ialah Penerbangan Malaysia (MAS) yang juga mencatatkan pemulihan dramatik dan sedang berusaha untuk menjadi sebuah syarikat penerbangan lima bintang. Baru-baru ini penggabungan tiga syarikat perladangan dilakukan bagi mewujudkan satu entiti yang besar dengan nama Sime Darby Berhad. Kita yakin penyenaraian semula Sime Darby minggu lalu membolehkannya mengambil langkah menuju kecemerlangan tersendiri untuk menjadi jaguh global seperti diharapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Forbes juga mengenal pasti syarikat berdaya tinggi dari segi prestasi yang diurus tadbir dengan baik sehingga menjadi contoh dalam bidang masing-masing. Dengan adanya usaha berterusan untuk mencapai kecemerlangan itu, keyakinan Perdana Menteri bahawa satu masa nanti, Maybank, CIMB dan Sime Darby akan turut layak disenaraikan dalam senarai Forbes Asia Fabulous 50 bukan harapan kosong. Malah tidak mustahil ada rakyat Malaysia nanti akan penerima Anugerah Ahli Perniagaan Forbes Asia Tahunan. Jika ini berlaku ia tentunya akan memberi suntikan positif untuk negara mencapai kegemilangan.

Selepas 50 tahun merdeka, kita harus mencapai kecemerlangan yang melepasi sempadan negara pada peringkat antarabangsa. Harapan Perdana Menteri itu seharusnya menjadi satu cabaran kepada syarikat dan konglomerat serta GLC Malaysia untuk mengorak langkah menjadi terbaik di kalangan yang terbaik di Asia.


Berita Harian 6 Disember 2007