Khamis, 6 Disember 2007

Kajian badan bebas dunia bukti kukuh ketelusan SPR


Ibu pejabat SPR di Putrajaya

HASIL kaji selidik dua badan antarabangsa yang mendapati proses pilihan raya di Malaysia paling bebas dan adil di kalangan negara Asia membuktikan proses pilihan raya di negara ini masih kekal pada tahap baik, sekali gus menyanggah apa juga andaian negatif pihak pembangkang terhadap ketelusan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengendalikan pilihan raya umum sejak setengah abad lalu. Setakat ini, SPR telah mengendalikan 11 pilihan raya umum dan sebilangan pilihan raya kecil tanpa sebarang masalah dan ini sepatutnya menjadi bukti kukuh betapa SPR mampu menunaikan tanggungjawabnya dengan adil dan telus. Malah, Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman juga pernah menegaskan bahawa majoriti rakyat menaruh kepercayaan tinggi terhadap badan itu sejak ia diwujudkan 50 tahun lalu dan tidak terpedaya dengan pelbagai dakyah yang disebarkan pihak tertentu.

Rumusan kaji selidik TNS dan Gallup International, yang tiada kaitan langsung dengan Kerajaan Malaysia atau SPR dan menjalankan kajiannya di kalangan negara Asia seharusnya diterima dan dijadikan asas kukuh dalam proses demokrasi. Kaji selidik berkenaan mendapati rakyat di negara ini bukan saja antara penyokong kuat amalan demokrasi di Asia, malah mempunyai keyakinan paling tinggi bahawa pilihan raya yang dijalankan di negara ini telus, bebas dan adil. Kajian bertajuk 'Kaji Selidik: Demokrasi di Asia' itu dijalankan antara Jun hingga Ogos lalu membabitkan 60,000 rakyat di 56 negara Asia dan hasil kajiannya dikeluarkan, kelmarin. Di negara ini, kajian itu dijalankan dari 2 Julai hingga 5 Ogos lalu membabitkan 1,250 penduduk bandar di Semenanjung. Dalam jawapan kepada pertanyaan yang dikemukakan sama ada pilihan raya dijalankan secara bebas dan adil, Malaysia mencatat 74 peratus manakala 69 peratus mengakui Malaysia ditadbir mengikut kemahuan rakyat. Kedua-dua peratusan itu adalah yang tertinggi dalam senarai 10 negara Asia dan melepasi 47 peratus purata dunia.

Apa yang lebih menarik, hasil kaji selidik peringkat Asia juga mendapati hampir lapan daripada 10 atau 78 peratus responden di rantau ini bersetuju bahawa idea demokrasi adalah sistem kerajaan terbaik, walaupun ia turut mempunyai masalah. Di Malaysia, 85 peratus setuju dengan pandangan sedemikian dan hanya lima peratus tidak setuju. 88 peratus responden yang ditemui di negara ini juga berpuas hati dengan demokrasi di rantau ini. Hakikatnya, kaji selidik itu membabitkan banyak negara dan bukannya sebilangan kecil negara saja dan TNS yang beribu pejabat di London, adalah kumpulan pembekal maklumat dan pasaran global yang boleh dipercayai. Kumpulan itu menjadi pembekal utama penyelidikan dan analisis berkaitan panel pengguna, kepakaran media dan internet serta perkhidmatan mengukur penonton televisyen dan pendengar radio. Gallup International pula ditubuhkan pada 1947 dan didaftarkan di Zurich. Ia dianggotai agensi yang dilantiknya di 65 negara dan pernah menjalankan kaji selidik pendapat dan pasaran di lebih 100 negara. Ia mempunyai reputasinya tersendiri sebagai syarikat kaji selidik terkenal di seluruh dunia. Kita harus menerima hakikat lazimnya syarikat multinasional seumpama tidak suka memihak kepada mana-mana negara tanpa fakta dan bukti yang sah. Kita berharap hasil kaji selidik yang dijalankan badan bebas itu akan menambahkan keyakinan rakyat Malaysia terhadap pilihan raya di negara ini, sekali gus menjadikan sebarang kesangsian dan syak wasangka pembangkang tidak relevan. Inilah masanya golongan muda yang begitu keberatan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi akan terbuka hati untuk mendaftar sebagai pemilih kerana pilihan raya adalah tiang utama demokrasi negara.

Berita Harian 7 Disember 2007