Khamis, 6 Disember 2007

Remaja mahu terkenal bunuh 8 orang


Robert A. Hawkins

BELLEVUE: Robert Hawkins, 19, yang menembak mati lapan orang di kompleks beli-belah Omaha kelmarin sebelum mengambil nyawanya sendiri semata-mata mahu jadi 'terkenal' mempunyai sejarah kemurungan. Beliau disifatkan semakin pulih sejak tinggal bersama keluarga seorang rakannya kira-kira setahun lalu, bagaimanapun selepas berpisah dengan teman wanitanya dua minggu lalu, dia kembali murung.

Sebelum mengamuk tengah hari kelmarin dia juga dipecat daripada sebuah restoran makanan segera, kata seorang anggota keluarga angkat Hawkins, Debora Maruca-Kovac. Debora yang berkerja sebagai jururawat pembedahan berkata, kel-uarganya menerima Hawkins selepas lelaki itu berkawan baik dengan anak perempuan dan lelakinya berusia 17 dan 19 tahun.

Beliau melihat sendiri satu nota bunuh diri yang ditinggalkan Hawkins.

"Saya mempunyai perasaan bahawa ia mungkin beliau," katanya.

Beliau memberitahu Associated Press bahawa beliau dan suaminya membenarkan Hawkins tinggal bersama mereka selepas remaja terbabit dibuang dari rumah keluarganya tetapi tidak menyatakan sebab keluarga berkenaan membuang beliau.

"Dia mengalami kemurungan dan selalu tertekan. Tetapi dia kelihatan semakin pulih," kata Maruca-Kovac.

Hawkins yang berkelulusan sekolah tinggi selepas meninggalkan Sekolah Tinggi Papillion-La Vista lulus lesen memandu selepas berpindah bersama keluarga Maruca-Kovacs dan bekerja di restoran McDonald's berhampiran rumah mereka di Bellevue selama lima bulan, kata Maruca-Kovac.

Hawkins tidak pernah mengambil ubat kerana penyakit mentalnya, tetapi dirawat kerana menghadapi masalah kemurungan dan hiperaktif, kata Maruca-Kovac. Walaupun berkeadaan demikian, Hawkins adalah seorang yang baik dan sayangkan binatang.

Beliau juga mempunyai masalah ketagihan alkohol dan sering menghisap marijuana dalam bilik tidurnya.

"Dia seorang remaja yang suka membantu dan pendiam. Dia tidak mendatangkan banyak masalah. Dia cuba membantu setiap masa, sentiasa berterima kasih terhadap apa juga dan langsung bukanlah seorang yang bersifat ganas," kata Maruca-Kovac.

Sementara itu, saksi di pusat beli-belah Westroads Mall berkata suasana kelam kabut di kalangan pengunjung tercetus apabila masing-masing cuba mencari perlindungan dan menyelamatkan diri selepas mendengar bunyi beberapa das tembakan.

Kakitangan bergegas ke bilik persalinan, manakala sekumpulan pengunjung lain berkejar ke bilik belakang selain ibu bapa segera membawa anak mereka keluar dari pusat beli-belah itu.

"Lutut saya menggeletar. Saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan, jadi saya lari bersama pengunjung lain," kata Kevin Kleine, 29 yang membeli belah bersama anak perempuannya berusia empat tahun.

Katanya beliau bersembunyi dalam sebuah bilik persalinan bersama empat pengunjung yang lain dan seorang kakitangan pusat beli belah berkenaan.

- AP/Agensi