Khamis, 6 Disember 2007

Kadar jenayah kanak-kanak meningkat

BEIJING: Kadar jenayah kanak-kanak di China meningkat daripada 33,000 pada 1998 kepada 80,000 tahun ini, manakala dua pertiga daripada kes jenayah yang dikendalikan mahkamah setiap tahun membabitkan pesalah bawah umur, lapor China Daily.

"Jenayah membabitkan juvana menyebabkan masalah sosial yang teruk dan semakin meningkat," kata akhbar itu yang memetik kenyataan timbalan setiausaha agung Persatuan Penyelidikan Bagi Jenayah Kecil Kanak-Kanak China, Liu Guiming.

Persatuan itu turut menyalahkan penggunaan internet yang semakin meningkat dan kesan daripada dasar 'satu keluarga satu anak' di China.

"Usia purata pesalah menjadi semakin muda sejak akhir-akhir ini dan mereka juga terbabit dalam jenayah bentuk baru selain membentuk kumpulan samseng yang lebih besar. Malah, mereka melakukan jenayah tanpa sebarang motif dan sering kali tidak berfikir," katanya.

Liu turut menyalahkan perpecahan keluarga, keciciran dan masalah sosial sebagai punca peningkatan kejadian jenayah membabitkan kanak-kanak terutama apabila semakin ramai kanak-kanak ditinggalkan ibu bapa yang bekerja di bandar lain.

"China mempunyai kira-kira 150 juta pekerja yang berpindah-randah kebanyakannya dari kawasan miskin ke kawasan yang lebih mewah di bandar timur negara itu dan mereka sering meninggalkan anak mereka di dalam jagaan saudara mara atau rakan," katanya.

- Agensi