Khamis, 6 Disember 2007

Wanita dibebani kerja


Masa lebih panjang di pejabat, urus rumah tangga: Kajian

LONDON: Wanita berkerjaya dibeban dengan lebih banyak kerja dan masa bertugas yang lebih panjang, kerana selain tanggungjawab di pejabat, mereka terpaksa menguruskan rumah tangga dan keluarga, kata satu kajian.

Penyelidik di Universiti Cambridge mendapati walaupun lelaki menghabiskan masa yang panjang di pejabat, wanita melakukan lebih banyak tugas jika kerja di pejabat digabungkan dengan tanggungjawab rumah tangga, lapor The Daily Telegraph semalam. Purata, lelaki yang bekerja sepenuh masa menjalankan tugas selama 55 jam seminggu.

Di Britain, perangkaan itu, termasuk 3.6 jam masa tambahan dan lapan jam tugas rumah tangga seperti mencuci, memasak dan menjaga anak. Bagaimanapun di Eropah wanita yang bekerja sepenuh masa menghabiskan 68 jam.

Wanita Britain bekerja sepenuh masa menghabiskan 40 jam di pejabat, 3.3 jam masa kerja tambahan dan 23 jam seminggu kerja rumah.

"Keadaan sama turut berlaku di kalangan wanita bekerja sambilan kerana terpaksa bekerja untuk tempoh lebih panjang. Mereka biasanya bekerja 57 jam seminggu. Jumlah masa kerja yang dihabiskan ialah 21.3 jam masa bekerja, 2.4 jam masa kerja tambahan dan 32.7 jam untuk kerja rumah tangga," kata penyelidik itu.

Kumpulan penyelidik itu juga berkata, beberapa generasi lalu, tiada keprluan untuk wanita bekerja dan mereka biasanya lebih berpuas hati tinggal di rumah menjaga anak dan keluarga.

"Bagaimanapun sekarang sudah berubah apabila wanita keluar bekerja dan pulang untuk melakukan tugas rumah tangga pula, menyebabkan tempoh masa bekerja mereka panjang," katanya.

- Agensi