Khamis, 6 Disember 2007

Fosil 'moyang' gorila, cimpanzi


Gigi yang terdapat pada fosil rahang

Para pengkaji telah mendedahkan baru-baru ini sebatang tulang rahang berusia 10 juta tahun dipercayai milik satu spesies baru mawas yang boleh jadi merupakan 'moyang' terakhir gorila dan cimpanzi.

Kumpulan pengkaji Kenya dan Jepun menemui fragmen tersebut yang berasal antara 9.8 dan 9.88 juta tahun yang lalu pada tahun 2005 bersama-sama dengan 11 batang gigi. Fosil ini ditemui dalam lumpur volkanik di Nakali, Kenya.

Spesies tersebut yang bersaiz antara gorila betina dan Orang Utan betina boleh membuktikan kebenaran teori 'missing link' iaitu hubungan yang terputus dalam rangkaian evolusi primat, kata saintis Kenya.

"Berdasarkan penemuan ini, kami secara selesa berkata yang kami sedang dalam usaha untuk menemui satu fakta tentang teori hubungan terputus," kata Frederick Manthi, saintis kanan di Muzium Negara Kenya kepada para wartawan.

"Kami mesti menemui lebih banyak fosil dari kawasan berkenaan untuk mempertahankan teori berkenaan," ujarnya yang bercakap di depan meja yang meletakkan tulang rahang sepanjang empat inci itu.

Ia merupakan penemuan terbaru yang penting di timur Lembah Rift, Afrika iaitu satu kawasan yang selama ini dianggap sebagai 'taman permainan primat'.

"Gigi-giginya diliputi enamel yang tebal menggambarkan diet mawas ini yang melibatkan objek-objek keras seperti kacang, biji benih dan buah-buahan," kata Yutaka Kunimatsu di Institut Penyelidikan Primat Universiti Kyoto yang ditemubual menerusi telefon.

"Ia mungkin berada di kedudukan antara gorila, cimpanzi dan manusia," tambahnya.

Bagaimanapun, agak sukar untuk menentukan bagaimanakah rupa spesies baru yang dinamakan Nakalipithecus nakayamai itu.

"Kami hanya mempunyai beberapa fragmen rahang dan beberapa gigi, tetapi kami harap akan menemui bahagian tubuh lain dalam kajian akan datang. Kami merancang untuk ke sana semula pada tahun depan. Kami akan cuba untuk menemui tulang di bawah leher untuk mengenal pasti bagaimana haiwan ini bergerak," kata Kunimatsu.

Diterbitkan dalam isu terbaru jurnal, Proceedings of the National Academy of Sciences, penemuan ini adalah signifikan kepada pengukuhan teori bahawa evolusi primat secara keseluruhannya berlaku di Afrika.

"Sesetengah mawas kemudian meninggalkan Afrika dan berhijrah ke Eurasia. Ia kemudian menjadi Orang Utan di Asia Tenggara. Orang Utan hari ini datang dari keluarga mawas yang meninggalkan Afrika," tambahnya.

Kosmo!