Ahad, 2 Disember 2007

Imej, citra bangsa menerusi filem


Garapan seni pengarah Korea Selatan, Iran berjaya ubah persepsi dunia

SUATU waktu dulu, tiada siapa yang mempedulikan kesenian Korea Selatan. Dalam dunia perfileman perhatian lebih banyak diberikan pada Hong Kong, China, Jepun dan Taiwan. Malah imej orang Korea di mana-manapun selalunya negatif. Alangkah berbezanya keadaan itu pada masa ini. Hari ini, Korea Selatan mengeksport hasil kesenian bermutu kepada dunia. Pandangan orang lain terhadap Korea juga berubah akibat budaya popular negara itu.

Begitu juga halnya dengan Iran. Iran dilabelkan sebuah negara yang dianggap 'penyangak' oleh Kerajaan Amerika Syarikat (AS). Sejak rejim yang disokong AS tumbang pada 1979 oleh revolusi rakyat dipimpin Ayatollah Khomenei, tidak ada yang 'baik' datang dari negara itu. Sehinggalah filem Iran mulai memenangi festival antarabangsa yang berprestij.

Hasil seni kedua-dua negara itu bukan saja membantu 'melunakkan' imej rakyat dan negara berkenaan, tetapi menyumbang pada khazanah kebudayaan popular dunia. Kedua-dua negara itu menjadi pengeluar bahan kesenian berkualiti tinggi atau yang paling popular. Iran tersohor kerana filemnya, sementara Korea Selatan kerana muzik, filem dan drama TV.

Hari ini, 'Gelombang Korea' melanda dunia. Filem Korea seperti Taegukgi yang dikatakan filem paling mahal pernah dibuat di negara itu memenangi festival filem di banyak tempat, termasuk Festival Filem Asia yang ke-50 pada 2005 di Kuala Lumpur. Seorang pelakon filem itu, Jong Dong-gun menjadi kegilaan di banyak negara Asia. Dong-gun hanyalah seorang daripada sekian banyak pelakon dan penyanyi Korea yang diminati oleh dunia. Rain adalah penyanyi solo yang mengalahkan banyak penyanyi muda AS sendiri. Kumpulan Dong Bang Shin Gi, SG Wannabe, Super Junior dan Shinhwa mencorakkan dunia hiburan Asia. Sementara itu, Lee Jun-ki, Park Si-yeon, Kwan Sang-won, Lee Da-hae, Yoon Eun-hye dan Choi Jin Woo menjadi sebutan di mana-mana.

Drama TV bersiri seperti Princess Hours, My Girl, Stairway to Heaven dan The Snow Queen begitu popular di Malaysia dan banyak negara Asia. Drama TV yang paling popular di Hong Kong satu ketika dulu bukan drama Cina berbahasa Kantonis atau Mandarin, tetapi siri Jewel In the Palace dari Korea.

Iran lebih konservatif. Kita tidak mengharapkan lagu pop dan penyanyi popular datang dari Iran. Tetapi Iran menghasilkan filem yang sangat diminati khususnya oleh masyarakat pengkritik dan pencinta filem. Apabila filem Kandahar dibuat pada 2002 oleh pengarah filem terkenal Iran, Mohsen Makhmalbaf, filem itu dikatakan ditonton Presiden George W Bush bagi memahami budaya dan nilai rakyat Afghanistan.

Kandahar bertolak daripada kisah benar Nelofer Pazira yang ketika itu berusia 16 tahun yang terpaksa melarikan diri dari Afghanistan bersama keluarganya ketika pendudukan Soviet Union. Kawan baiknya, Dyana bagaimanapun tinggal di Afghanistan. Selama bertahun-tahun mereka berutus surat antara satu sama lain. Nelofer mengikuti kursus kewartawanan di AS dan bekerja dengan sebuah bank. Tetapi kenangannya terhadap tanah tumpah darahnya serta teman yang ditinggalkan tidak pernah luput.

Nelofer teringatkan Mohsen yang pernah mengarahkan filem yang cukup bersimpati pada penanggungan rakyat Afghanistan – The Cyclist pada 1987. Filem itu dibuat sepenuhnya di Pakistan. Mohsen mengarahkan lebih 20 buah filem sebelum itu, antaranya The Peddler, Salam Cinema, Gabbeh dan A Moment of Innocence. Apa yang penting, bukan saja Mohsen yang terbabit di dalam pembikinan filem, tetapi isterinya, Marzieh (pengarah filem The Day I Became A Women) dan anak perempuannya Samira (The Apple dan The Blackboard).

Mohsen bersetuju mengarahkan filem Kandahar. Nelofer sendiri memainkan watak utama filem itu, Nafas, yang melihat bagaimana nasib wanita di tangan Taliban. Filem itu juga memperlihatkan bagaimana penderitaan rakyat Afghanistan dalam keadaan politik yang tidak menentu.

Dunia memberi pengiktirafan tinggi terhadap filem Iran. Selain Mohsen dan keluarganya, banyak lagi pengarah filem Iran yang terkemuka. Jaafar Panahi dikenal kerana The Circle dan The Mirror, Abbas Kiarostami kerana Taste of Cherry, Parviz Sayyad kerana Mission dan Cinema Rex Trial, Behrooz Afkhami kerana Hemlock, Majid Majidi kerana Children of Heaven dan The Colour of Paradise, selain Dariush Mehjui kerana Leila.

Banyak orang terlupa bagaimana filem Iran mendapat nafas baru. Apabila Khomenei mengambil alih pemerintahan daripada Shah Iran, beliau membayangkan projek Sinema Muslim yang dapat memberikan pilihan pada sinema Barat yang tidak bertunjang pada tradisi Islam dan budaya Iran. Lalu wujudlah Yayasan Filem Farabi pada 1983. Orang yang menjadi penggeraknya ialah Menteri Kebudayaan Iran ketika itu yang kemudian menjadi Presiden Iran, Mohamed Khatami. Matlamat Yayasan ini ialah 'untuk mengeluar, membiayai dan mengedarkan' filem Iran.

Menarik juga untuk diperhatikan bahawa negara yang dikatakan berpegang teguh pada prinsip Islam membenarkan pertumbuhan budaya popular seperti filem. Pimpinan Republik Islam Iran mengerti makna filem dalam memperagakan nilai, mengemukakan citra, selain mempertegas pendirian mereka mengenai satu-satu isu. Walaupun begitu tidak semua filem keluaran Iran disenangi golongan mullah atau pimpinan agama tertinggi negara itu. Malah ada filem yang dilarang ditayangkan di Iran. Tapisan masih berlaku. Tetapi sekurang-kurangnya sikap toleran terhadap seni budaya melahirkan generasi pembikin filem yang baik.

Dua negara itu membuktikan bagaimana budaya popular mengubah sikap dan pandangan dunia terhadap mereka. Gelombang Korea tidak boleh diambil mudah. Hari ini anak muda, termasuk di Malaysia menyanyikan lagu popular dari Korea selain mempelajari bahasa Korea menerusi lirik lagu, filem dan drama. Korea mulai mengambil alih Jepun, Taiwan malah Hong Kong sebagai sumber budaya popular. Iran mungkin tidak disenangi oleh Barat kerana pelbagai alasan. Tetapi filem Iran sentiasa menarik perhatian Barat.

Jangan ambil mudah pengaruh budaya popular. India dikenal kerana dua industri filemnya -Bollywood dan Kollywood. Yang satu melahirkan filem Hindi dan satu lagi filem Tamil. Satu berpaksi di Mumbai yang satu lagi di Chennai. India mengeluarkan lebih banyak filem dari AS. Setiap tahun lebih 900 filem ditayangkan di 13,000 pawagam di India. Lebih banyak tiket untuk filem India dibeli (3.6 bilion) berbanding tiket untuk filem AS (2.6 bilion) dalam setahun. Kita semua tahu bagaimana besarnya pengaruh filem Hindi ke atas orang Melayu sejak sekian lama. Nama bintang filem Hindi menjadi gah di mana-mana.

Jangan perkecilkan filem Tamil. Sivaji - The Boss yang dilakonkan oleh Rajnikanth memecahkan rekod tayangan di mana-mana. Malah di Malaysia penonton merusuh apabila pawagam menghadapi masalah teknikal ketika menayangkan filem itu.

Mungkin pelakon filem Hindi seperti Amitabh Bachchan atau Shah Rukh Khan lebih dikenal di Malaysia. Tetapi Rajnikath menjadi raja filem Tamil. Sivaji - The Boss dibuat dengan harga RM67.9 juta dan pelakon utamanya mendapat RM16.5 juta. Amitabh Bachchan dan Shah Rukh Khan pun tidak dibayar semahal itu untuk sebuah filem.

Kita jangan lupa bagaimana filem kung-fu dari Hong Kong memperagakan semangat kecinaan yang kuat bagi kaum Cina seberang laut. Begitu juga filem dari India mengingatkan masyarakat India seberang laut akan identiti dan asal usul serta budaya asal mereka. Filem adalah wahana penting bagi memancarkan nilai, budaya, sikap, psyche, citra dan wibawa sesuatu bangsa.

Lihatlah bagaimana budaya popular mengubah imej Korea dan Iran. Kita juga harus belajar daripada pengalaman kedua-dua negara ini.

Datuk Johan Jaafar
Berita Minggu 3 Disember 2007