Ahad, 2 Disember 2007

Kaum India tak boleh biarkan diri diperdaya


KITA sependapat bahawa tuduhan kononnya kerajaan mengamalkan pembersihan etnik bukan saja keterlaluan tetapi memang berniat jahat dan sama sekali tidak masuk akal. Jelas, aduan Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) mengenai masyarakat India di Malaysia kepada Kerajaan United Kingdom, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan pihak antarabangsa lain, semata-mata mahu mencetuskan keadaan tidak tenteram yang memungkinkan berlaku perbalahan kaum. Memang wajar apabila Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi marah dengan tuduhan Hindraf itu. Seperti kata Perdana Menteri, ia adalah pembohongan amat jahat. Perdana Menteri sanggup meletak jawatan jika perkara itu benar-benar berlaku di Malaysia. Kita berharap pemimpin Hindraf mendapat mesej jelas daripada kemarahan Perdana Menteri, yang turut dikongsi bukan saja oleh kaum lain, tetapi majoriti masyarakat India di negara ini.

Tindakan kumpulan ini jelas mahu menggugat kepercayaan orang India terhadap kerajaan, Umno dan orang Melayu. Kita percaya rata-rata kaum India di negara ini masih setia dengan kerajaan yang mengamalkan konsep perkongsian kuasa berdasarkan permuafakatan dan toleransi dengan harapan tiada kaum tersisih dalam agenda pembangunan negara. Kumpulan Hindraf seolah-olah mahu memperdaya orang India di negara ini untuk mempercayai sebaliknya, lalu bangun memberontak dan menentang kerajaan. Namun, kita yakin masyarakat India tidak akan membenarkan diri mereka diperdayakan. Kaum India tidak harus terpengaruh dengan tuntutan dan hasutan kumpulan itu yang hanya didalangi beberapa orang yang tidak berpuas hati atau sengaja membangkitkan rasa tidak senang di kalangan kaum India. Mereka sebaliknya harus bersyukur kerana dapat tinggal di bumi Malaysia yang menjanjikan kebebasan beragama dan mengamalkan budaya dan adat resam masing-masing selain tiada halangan mendapatkan pendidikan, pekerjaan dan tempat tinggal. Malah, kerajaan sentiasa bersikap adil untuk memastikan setiap rakyat tanpa mengira kaum dan agama mendapat layanan saksama. Sepanjang 50 tahun negara Merdeka, orang India sudah menjalankan peranan mereka menjadi penyokong kuat parti pemerintah. Tentu sekali mereka tahu kerajaan sudah membuat yang terbaik untuk mereka. Jika mereka menuduh kerajaan penipu, sudah lama BN diketepikan rakyat.

Kita berharap janganlah sifat bertolak-ansur dan keterbukaan kerajaan sekarang serta kelembutan Perdana Menteri 'memberanikan' sesetengah golongan untuk menguji, menggertak atau bertindak melampaui batas. Orang yang diam jangan dijentik kerana sekali bertindak, dia akan bertindak jauh daripada jangkauan fikiran. Kita percaya pihak berkuasa akan mengambil tindakan lebih tegas mengikut lunas undang-undang untuk mengelak mana-mana kumpulan menangguk di air keruh dengan mewujudkan suasana tegang dan mencetuskan permusuhan kaum menerusi demonstrasi jalanan, menyebarkan kenyataan palsu dan berbau hasutan di dalam internet dan surat layang. Dalang yang cuba menimbulkan huru hara tidak harus dibiarkan bebas. Kita tidak mahu disebabkan nila setitik rosak susu sebelanga. Kita perlu berpegang kuat pada prinsip Rukun Negara iaitu Kedaulatan Undang-undang dan Keluhuran Perlembagaan. Jika pun ada pihak mahu bertegas dengan pendirian menyatakan kebenaran hujah mereka, gunakanlah saluran yang betul dan bijak.

Berita Harian 4 Disember 2007