Ahad, 2 Disember 2007

Kulasingam Yang Tersohor: Fear Factor Dalam Dunia Penjenayah


Penumpas jenayah legenda S. Kulasingam, yang meninggal dunia akibat pneumonia Khamis, 29 November 2007, terkenal dengan keberaniannya bertarung dengan maut sepanjang menjalankan tugas.

Di kalangan polis, beliau dikenali sebagai seorang yang tidak mengenal takut. Berpantang matu sebelum ajal.

Pertempurannya dengan petualang-petualang dunia jenayah yang penuh ranjau dan bahaya jelas memberi petunjuk tidak ada jaminan yang lelaki ini, lebih dikenali dengan panggilan mesra, Kula, akan pulang dengan selamat.

Tetapi, beliau tetap pulang. Seperti biasa, dalam keadaan berlumuran darah dan lebam-lebam, tetapi membawa kemenangan setelah meranapkan sarang penjenayah.

Keberanian Kula yang tidak pernah luntur menghadapi penjayah menyebabkan beliau diberi panggilan "Fear Factor".

Tanya Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Persekutuan Datuk Christopher Wan Soo Kee. Beliau akan ceritakan pada anda mengapa Kula diberi gelaran "Fear Factor" dalam dunia penjenayah.

Dengan sanjungan tinggi untuk Kula, Wan memberitahu Bernama: "Kula adalah legenda CID...Saya sangsi sama ada seorang lagi Kulasingam akan lahir.

"Beliau seorang yang sederhana tetapi berhati waja. Beliau adalah produk yang menyebabkan kami (polis) merasa bangga. Tidak ada siapa yang boleh mempersoal komitmen dan dedikasinya (kepada pasukan polis).

"Penumpas jenayah yang baru meningkat wajar mengambil dedikasi dan pencapaian Kula sebagai kayu pengukur dalam kerjaya mereka...beliau adalah contoh klasik tentang bagaimana menjadi seorang anggota polis yang gemilang".

Sambil menyatakan kesedihannya yang mendalam tentang pemergian Kula, bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar menyifatkan Kula sebagai seorang polis yang berani ketika menjalankan tugas dan secara peribadi beliau dapat mengesan keberanian beliau itu.

"Pada 1976, misalnya, semasa rompakan di sebuah kedai emas di Paramount Garden, Petaling Jaya, Kula dengan sukarela pergi ke tempat berlaku jenayah untuk berdepan dengan perompak walaupun beliau tidak bertugas ketika itu.

"Semasa tiba, beliau terlibat dalam kejadian tembak menembak dengan perompak, dan beliau terkena tembakan di perut," kata Haniff.

Berikutan pembedahan akibat luka tembakan itu, Kula kehilangan sebahagian dari usus besarnya. Ini menyebabkan beliau jalan berdengkot.

"Setiap orang polis harus mencontohi keberanian dan dedikasi Kula," kata Hanif, KPN yang paling lama berkhidmat.

Sepanjang kerjayanya selama 35-tahun dalam polis, Kula mencatat kejayaan cemerlang dengan menghapus 25 kongsi gelap, geng pecah rumah dan geng rompakan bersenjata di Kuala Lumpur, Johor Baharu, Pulau Pinang, Sarawak dan Brunei.

Kula yang membujang, menjalani kehidupan yang cukup menarik. Beliau terselamat dari percubaan membunuhnya pada 22 November 1975 bila lelaki bersenjata yang dihantar oleh perompak terkenal Botak Chin alias Wong Swee Chin melepaskan 11 das tembakan ke arah keretanya.

Beliau terkena hanya satu tembakan dan peluru tunggal itu menembusi dadanya, hati dan mengguris paru-parunya.

Kula juga terselamat dari serangan asid ke atasnya; serangan kapak oleh lelaki yang mengamuk; dan dalam serangan hendap polis.

Pada saat-saat akhir kehidupannya, beliau dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan tulang pinggulnya yang patah ketika beliau jatuh di bilik mandi di pangsapurinya di Johor Baharu.

Kemudian, pneumonia menyerang bekas Timbalan Ketua CID Kuala Lumpur dan Ketua CID Johor ini yang sebelum itu sering terselamat dari maut.

Kata orang legenda tidak mati...setakat hilang dalam kabus.

Tidak dinafikan Kula adalah legenda seumpama itu.


Fokus berita oleh Gerald Raja dan B. Hariharasuthan
Bernama