Ahad, 2 Disember 2007

Media Dan Akal-budi Generasi Muda


Pujangga Melayu pernah berpesan, "melentur buluh biarlah dari rebungnya" yang masih muda dan lembut. Pokok buluh tua yang sudah keras akan patah kalau dilenturkan. Pengajaran bagi kita adalah, zaman kanak-kanak dan muda-remaja adalah tahap penting dalam membentuk budi-pekerti, akhlak, perangai, watak dan minda. Akhlak dan perangai watak yang telah terakam semenjak zaman kanak-kanak dan muda-remaja sukar untuk dihapuskan atau diubah.

Masalahnya, golongan kanak-kanak dan muda-remaja belum mampu membezakan antara yang benar dengan yang palsu. Sedangkan, dalam masa yang sama, golongan muda dan kanak-kanak sangat perlu kepada contoh tauladan yang baik dari segi akhlak, pemikiran dan kehidupan. Bayangkanlah pula apa yang akan terjadi sekiranya anak-anak dan generasi muda kita membesar di tengah-tengah gambaran-gambaran atau imej-imej media yang buruk dari segi akhlaknya yang sentiasa disuapkan kepada mereka.

Sebagai contoh, bayangkanlah apa yang akan berlaku kepada penonton berusia muda sekiranya dalam rancangan-rancangan televisyen kita, orang-orang yang jahat ditunjukkan sebagai selalunya bahagia, sementara orang-orang yang baik ditunjukkan bersifat melarat; orang-orang yang tidak jujur ditanggap sebagai selalu untung (iaitu kalau penyelewengannya tersorok daripada pihak berkuasa), sementara orang-orang yang mempunyai sifat amanah ditanggap sebagai merugikan diri sendiri.


SATU PERSEPSI NEGATIF

Tentulah penonjolan budaya yang seperti ini akan merosak dan mengeruhkan cita-rasa penonton Malaysia amnya dan generasi muda khasnya. Memanglah membaca atau menonton satu atau dua karya atau rancangan yang buruk tidak akan terus menjadikan seseorang itu individu yang jahat. Walau bagaimanapun, ia tetap akan meninggalkan kesan bahawa kejahatan itu adalah sesuatu yang biasa dan menyeronokkan.

Akibatnya, pembaca atau penonton mungkin terbiasa dengan gambaran atau imej bagaimana aksi bergaduh atau aksi ganas sangat berkesan dalam menyelesaikan masalah secara yang pantas; minuman yang memabukkan dipaparkan sebagai suatu perkara menarik dan bukannya memudaratkan; perlakuan seksual pula tidak perlu kepada sebarang peraturan. Demikianlah, ibarat makanan yang berbisa bagi akal dan roh, gambaran dan imej media yang berbahaya dari segi akhlaknya sama ada secara langsung mahupun tidak, hari demi hari, sedikit demi sedikit, secara senyap-senyap akan membarah merosakkan roh dan meracuni akal-fikiran anak-anak kita generasi muda.

Memetik kata-kata Nicholas Johnson, "All television is educational television. The question is: what is it teaching?," perkataan dan ucapan yang cabul dan carut, bahasa dan gambar yang tidak senonoh, jika diambil ringan, akan membawa kepada perbuatan yang cabul dan perlakuan yang tidak senonoh juga.

Tentulah golongan kanak-kanak dan muda-remaja tidak seharusnya dibenar mendengar atau mengulang perkara-perkara tersebut. Bayangkanlah betapa hebatnya cabaran anak-anak kita pada hari ini yang membesar dalam persekitaran yang siang-malamnya di kelilingi media, daripada televisyen-darat dan tv-satelit serta internet, membawa kepada media iPod, wayang gambar, telefon mudah-alih, dan permainan video serta sebagainya lagi.


MEWUJUDKAN PERSEKITARAN SIHAT

Kita tidak sepatutnya membiarkan sahaja generasi muda, sama ada secara langsung ataupun tidak langsung, menerima sahaja idea-idea asing, yang sebahagiannya jauh bertentangan dengan apa yang kita cita-citakan sebagai satu bangsa yang beragama. Kita mempunyai tanggungjawab yang berat untuk mengikhtiarkan anak-anak kita generasi muda hidup dalam suasana yang sihat, di tengah-tengah rancangan dan program media yang mempunyai kesan yang elok dan manis.

Karya, rancangan dan program yang kita hasilkan atau yang kita benarkan untuk disebarkan, akan terpancar ke dalam mata dan telinga anak-anak kita generasi muda, seperti angin bayu yang jernih lagi menyegarkan. Janganlah kita melepaskan peluang keemasan untuk secara halus menarik roh anak-anak kita dari tahun-tahun awal mereka lagi ke arah yang bersetujuan dengan kesopanan dan kesusilaan yang juga merupakan Rukun Negara yang kelima.

Walaupun media di Malaysia sedikit-sebanyak telah cuba berusaha memenuhi keperluan masyarakat kita dalam mewujudkan suasana yang aman-majmuk dan keserasian masyarakat, kita belum boleh lagi berpuas hati. Ini kerana, kita sedang berhadapan dengan cabaran besar gelombang globalisasi revolusi digital yang isinya, faham-fahamnya dan konsep-konsepnya dikuasai oleh Dunia Barat.

Gelombang yang melanda ini akan menenggelamkan bangsa kita, melainkan jika kita berjaya meningkatkan jasa-bakti, sumbangan dan 'dinamisme moral' demi memperkukuh jatidiri bangsa yang berlandaskan agama.


Oleh Dr Mohd Sani Badron

Penulis adalah Fellow Kanan/Pengarah Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Bernama