Ahad, 2 Disember 2007

Pondok Bacaan Pertama Di Negara Daripada 100% Bahan Kitar Semula


Sekolah Kebangsaan Sri Kelana, bersama Tetra Pak (Malaysia) Sdn Bhd, syarikat pemprosesan dan penyelesaian pembungkusan makanan terkemuka dunia telah meraikan pembukaan rasmi pondok bacaan baru mereka yang diperbuat daripada karton Tetra Pak yang dikitar semula. Pondok ini yang ditaja oleh Tetra Pak, adalah yang pertama pernah dibina di negara ini.

Terrynz Tan, Pengarah Komunikasi dan Alam Sekitar Tetra Pak Malaysia, Singapura dan Filipina, berkata sejajar dengan cogan kata syarikat iaitu melindungi yang baik, Petra Pak (Malaysia) menaja pondok bacaan ini dengan harapan ia akan menjadi tempat para pelajar mengambil peluang untuk membaca selain sebagai peringatan yang berterusan terhadap keperluan untuk melindungi alam sekitar.

Bungkusan Tetra Pak diperbuat daripada 74 peratus papan kertas, 22 peratus polietilena dan 4 peratus kerajang aluminium yang membuatkan bungkusan ini boleh dikitar semula sepenuhnya.

Pondok bacaan ini diperbuat daripada polietilena dan kerajang aluminium yang dikeluarkan daripada bungkusan Tetra Pak dan kemudiannya dimampatkan menjadi papan panel. Papan panel ini boleh digunakan antara lainnya untuk membuat perabot.


KITAR SEMULA

Majlis perasmian itu juga bertepatan juga dengan satu lagi acara iaitu majlis penyampaian hadiah Pusingan Pertama Pertandingan Kitar Semula & Menang (Peringkat Negeri) yang dianjurkan oleh Tetra Pak.

SK Sri Kelana muncul di tempat pertama dalam pusingan ini dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2,000, sebuah trofi dan sijil. Tempat kedua pula dimenangi oleh Sekolah Kebangsaan Seksyen 20 Shah Alam yang menerima hadiah wang tunai sebanyak RM1,000, sebuah trofi dan sijil, sementara tempat ketiga dimenangi oleh Sekolah Kebangsaan Kuala Selangor dengan hadiah wang tunai sebanyak RM500, sebuah trofi dan sijil.

Hadir untuk merasmikan pondok bacaan dan menyampaikan hadiah ialah Datuk Dr Wong Sai Hou, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Alam Sekitar, Local Agenda 21 Petaling Jaya.

Ketibaan beliau disambut dengan persembahan yang memperlihatkan imaginasi kitar semula ahli kelab SMART Rangers sekolah itu. Mereka mengiringi perarakan masuk sambil menggoncang 'marakas' daripada kotak minuman kosong berisi kacang hijau kering, bagi memeriahkan lagi majlis tersebut.

Dalam ucapannya, Datuk Dr Wong memuji kerjasama kitar semula yang wujud di antara Tetra Pak dan sekolah rendah ini dan berharap inisiatif mulia ini akan berterusan.


PUPUK KESEDARAN

Guru Besar SK Sri Kelana, Rohayah Mohd Sarif, pula menyifatkan usaha bersama antara pihak sekolah dan Tetra Pak untuk mewujudkan kesedaran tentang alam sekitar dan menyemai budaya membaca di kalangan para pelajar wajar diteruskan.

Ahli-ahli kelab SMART Rangers setiap hari Jumaat akan mengumpulkan barangan yang boleh dikitar semula yang dibawa oleh para pelajar lain dari rumah mereka. Mereka mengumpul pelbagai jenis barangan termasuk cermin mata lama, komputer, surat khabar, karton Tetra Pak dan mengumpulkan baju-baju lama untuk diberikan ke rumah-rumah anak yatim dan rumah-rumah orang tua.

Duit yang diperolehi daripada aktiviti mengitar semula ini digunakan untuk mencantikkan sekolah dan untuk menganjurkan lawatan. Ahli-ahli kelab ini juga telah bergotong-royong untuk menanam anak pokok dan rumpun bunga mengelilingi pondok bacaan mereka.

Ong Kian Eng, Guru Penasihat kelab SMART Rangers berkata bahawa objektif utama kelab ini adalah untuk menjadikan kitar semula sebagai satu cara hidup di kalangan semua rakyat Malaysia.

"Kami berharap melalui aktiviti seperti ini kami dapat menerapkan tabiat baik mengitar semula di kalangan para pelajar. Kami juga berharap dapat melaksanakan projek lain pada masa depan yang akan mendatangkan lebih banyak manfaat kepada para pelajar Sri Kelana."


Oleh Rosliwaty Ramly
Bernama