KEJOHANAN Kapal Layar Piala Monsun di Pulau Duyong, Terengganu untuk tahun ketiga berturut-turut yang berakhir kelmarin, kini menjadi penanda aras kepada penganjuran sukan berkenaan pada peringkat dunia. Perkara ini diberitahu Naib Presiden Persekutuan Pelayaran Antarabangsa, David Kellett kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Menurut Kellett penganjuran dan kemudahan disediakan di Piala Monsun memenuhi penanda aras yang cukup tinggi. Kejohanan kapal layar itu bukan saja mengubah landskap Pulau Duyong, malah menjadikan acara sukan itu kedua terpenting selepas Piala Amerika. Apabila ia pertama kali diadakan tiga tahun lalu, ada yang menuduh kononnya ia satu lagi pembaziran oleh kerajaan seperti juga keluhan negatif ketika Malaysia mula menawarkan diri menjadi tuan rumah pusingan formula satu (F1) Grand Prix Petronas sebelum ini. Kini kedua-duanya menjulang nama Malaysia - satu di darat dan satu lagi di air.
Bagaimanapun kejohanan itu tidak seharusnya dilihat sebagai acara sukan semata-mata kerana ia turut memberi percikan ekonomi bagi menjana pendapatan melalui pelaburan dan pelancongan. Malah, percikan ekonomi berlaku di kawasan sekitar Pulau Duyong apabila jualan peniaga tempatan di bazar yang diadakan sempena kejohanan turut laris. Ada yang datang dari negeri lain termasuk Sarawak yang berkunjung ke Terengganu ketika Piala Monsun, bukan untuk melihat kejohanan itu, tetapi membeli-belah seperti songket, batik dan hasil kraf tangan rakyat Terengganu. Dilaporkan, ada peniaga menjual buah rotan berperisa coklat dan strawberi meraih jualan RM1,000 sehari sepanjang kejohanan ini. Inilah manfaat secara langsung diperoleh rakyat Terengganu selain musim tengkujuh di negeri itu kini bukan lagi waktu penduduk berkurung di rumah semata-mata. Dalam hubungan ini, dakwaan kononnya penganjuran Piala Monsun tidak menguntungkan rakyat dan perlu dilihat semula, tentulah tidak betul.
Yang nyata, usaha kerajaan negeri mempromosi Terengganu melalui pengendalian acara bertaraf antarabangsa mula menampakkan hasil apabila masyarakat luar mulai mengenali Terengganu. Tiga acara bertaraf antarabangsa yang dianjurkan kerajaan negeri tahun ini seperti Terengganu Endurance Cup, Terengganu International Rainforest Challengge (TIRC) selain Piala Monsun membuka mata pelancong luar terhadap Terengganu. Sepanjang minggu lalu sebagai contoh, semua hotel di Kuala Terengganu dan sekitarnya serta penerbangan Kuala Lumpur-Kuala Terengganu habis ditempah. Kita percaya sasaran untuk menarik 3.5 juta pelancong ke Terengganu pada Tahun Melawat Terengganu 2008 nanti dapat dicapai.
Hakikatnya, dalam masa tiga tahun ini, nama Piala Monsun sudah dikenali di seluruh dunia. Kita juga dapat melihat kemasukan pelaburan ke Terengganu terutama di kawasan berdekatan Pulau Duyong. Contohnya, perjanjian antara syarikat tempatan Destini Marine Sdn Bhd dan syarikat Belanda Conoship International BV untuk membina kapal persiaran mewah bagi pasaran Eropah. Sudah pasti pelaburan itu akan menyaksikan Terengganu khususnya Pulau Duyong lebih membangun sama seperti kawasan lain dalam Koridor Pembangunan Pantai Timur (ECER). Selain itu, akan ada Akademi Pelayaran di Pulau Duyong yang kita harap pembinaannya siap sebelum kejohanan tahun depan dalam usaha melatih pelayar muda. Kita berharap selepas ini, Kerajaan Pusat menjadikan Pulau Duyong sebagai pulau bebas cukai terbaru di Pantai Timur bagi menarik lebih ramai pelancong kerana di Pantai Barat sudah ada Langkawi.
Berita Harian 4 Disember 2007