LONDON - Seorang lelaki, Farooq Yusof yang juga bapa kepada seorang genius matematik, Sufiah ditahan oleh pihak berkuasa Britain selepas dituduh mencabul dua remaja berumur 15 tahun, lapor sebuah akhbar semalam.
Farooq, 50, yang berasal dari Pakistan dan bekerja sebagai tutor mengaku bersalah mencabul dua remaja itu di rumah mangsa.
Dia dipenjarakan sehingga pihak mahkamah memutuskan tempoh hukuman penjara terhadapnya dan dia menghadapi kemungkinan dipenjarakan sehingga enam bulan.
Farooq yang berkahwin dengan seorang saintis kelahiran Malaysia, Halimahton, 51, mendapat liputan meluas media di Britain dan Malaysia pada 1997 selepas anak perempuan mereka, Sufiah berjaya memasuki Universiti Oxford pada usia 13 tahun.
Menurut bapa mangsa remaja dicabul itu: "Lelaki itu (Farooq) tampil sebagai seorang yang bijaksana dan menarik. Dia menyatakan anak saya pintar dan dia mampu menolong meningkat kemahirannya.
"Dia juga memberitahu kami bahawa seorang anak perempuannya pernah pergi ke Oxford tetapi dia tidak pernah memberitahu keseluruhan kisahnya."
Farooq pernah dipenjarakan selama tiga tahun pada 1992 selepas terlibat dalam penipuan gadai janji bernilai £1.5 juta (RM9.65 juta).
Anaknya itu, Sufiah pernah melarikan diri selepas mendakwa ibu bapanya terlalu memberi tekanan untuknya berjaya. Sufiah kemudiannya berjaya ditemui oleh pihak berkuasa 12 hari kemudian selepas dia bekerja sebagai seorang pelayan di sebuah restoran.
Remaja genius dalam bidang matematik itu kemudiannya diserahkan kepada keluarga angkat selepas dia enggan kembali ke pangkuan keluarganya.
Sufiah kemudiannya berkahwin pada 2004 dengan seorang peguam, Jonathan Marshall yang memeluk agama Islam selepas bertemu di universiti tetapi bercerai 13 bulan kemudian.
- Agensi