Isnin, 28 Januari 2008

Lima didapati bersalah


GAMBAR ini menunjukkan wajah lima lelaki yang melakukan rompakan iaitu Royle (atas kiri), Hysenaj (atas kanan) dan Rusha (bawah kiri), Bucpapa dan Coutts (bawah kanan).

LONDON - Sebanyak lima lelaki didapati bersalah atas tuduhan melakukan penculikan dan rompakan wang tunai yang terbesar di Britain.

Para perompak berkenaan berjaya melarikan wang tunai berjumlah 53 juta pound sterling (RM341 juta) dari sebuah gudang penyimpanan wang di Kent, Britain pada 2006.

Juri di Mahkamah Jenayah London memutuskan bahawa mereka bersalah selepas melakukan pertimbangan dalam perbicaraan yang berlangsung selama tujuh bulan.

Ketika kejadian, sebahagian mereka menyamar sebagai anggota polis sehingga berjaya melepasi kawalan selepas menculik isteri dan anak pengurus gudang tersebut.

Perompak-perompak itu dibantu oleh seorang pekerja gudang tersebut yang memberikan butiran susun atur dalam bangunan dan protokol keselamatan.

Pekerja itu juga secara rahsia merakamkan suasana di dalam bangunan berkenaan dengan menggunakan sebuah kamera kecil yang disembunyikan di tali pinggangnya.

Bagaimanapun, anggota-anggota kumpulan berkenaan berjaya diberkas oleh anggota polis dalam satu serbuan pada Februari 2006 selepas beberapa detektif mendapat maklumat tempat persembunyian kumpulan itu.

Kesemua tertuduh Stuart Royle, 49, Jetmir Bucpapa, 26, Lea Rusha, 35, Ermir Hysenaj, 28, dan Roger Coutts, 30, didapati bersalah menculik, merompak dan memiliki senjata api.

Kelima-lima tertuduh menafikan dakwaan itu tetapi para pendakwa raya berkata, semua bukti forensik dan rekod perbualan telefon mengaitkan mereka dengan jenayah itu.

Salah satu bukti utama datang diperoleh daripada seorang jurusolek dan pendandan rambut, Michelle Hogg, 33, yang mengaku membantu mereka melakukan penyamaran.

Menurutnya, dia menyolek kesemua suspek selama 24 jam supaya sukar dikenali dua hari sebelum mereka melakukan rompakan di gudang itu.

- Agensi