Isnin, 7 Januari 2008

Caj melampau: Kementerian Kesihatan patut bertindak tegas


UMUM mengetahui kos rawatan di hospital swasta, terutama hospital pakar, begitu tinggi. Memang hakikatnya rawatan pakar dalam bidang apa sekali pun, menuntut pembayaran yang lebih tinggi daripada kadar perkhidmatan biasa oleh golongan bukan pakar. Tetapi persoalannya apakah kadar bayaran yang dikenakan itu munasabah? Malah, ada pesakit mengadu pemeriksaan dijalankan tidak seberapa, tetapi dikenakan bayaran yang tinggi. Contohnya, dalam laporan khas akhbar ini semalam, seorang pesakit mendakwa dikenakan caj sehingga RM180 sedangkan doktor cuma menemuinya kurang 10 minit, itu pun sekadar bertanya khabar dan memberi sedikit nasihat. Pesakit itu menerima rawatan di sebuah pusat perubatan pakar di ibu negara dan mengadu bahawa doktor terlalu kerap melawatnya, sampai 11 kali sehingga menyebabkan kosnya melampau tinggi. Baginya, kekerapan lawatan itu tidak menjadi masalah, tetapi yang menjadi masalah ialah kadang-kala lawatan itu tidak perlu, sedangkan caj dikenakan pada setiap kali lawatan.

Oleh itu, kita amat mengalu-alukan langkah Kementerian Kesihatan untuk meminda beberapa peraturan berhubung kaedah pengendalian dan caj di pusat perubatan swasta bagi memastikan pesakit tidak dibebankan dengan bayaran yang keterlaluan. Pindaan terhadap Jadual Fi (Jadual 13) antara lain akan mengkelaskan jenis kesalahan yang boleh dikompaun serta mengehadkan kadar kekerapan lawatan doktor ke wad dan jagaan pesakit selepas pembedahan. Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican, pindaan itu akan memberi penekanan kepada beberapa komponen hospital yang selama ini kurang jelas dan menimbulkan pertikaian sesetengah pihak, termasuk pengendali pusat perubatan swasta serta pesakit. Dalam membuat perubahan itu, Kementerian Kesihatan perlu menjalankan penelitian secara terperinci semua bahagian dalam jadual terbabit sebelum melaksanakan sepenuhnya peraturan baru yang dikemas kini pada akhir suku pertama tahun ini.

Bagi masyarakat umum, apa saja yang dilakukan kementerian ke arah itu hendaklah memastikan peraturan baru itu nanti tidak membebankan pesakit serta tidak pula mengganggu pengendalian hospital swasta. Caj yang tinggi bukan isu penting di sini, tetapi biarlah berpatutan dengan khidmat diberikan. Kita juga tahu memang bukan murah bayaran bagi melakukan sesuatu pembedahan. Dalam peraturan baru itu nanti, mungkin elok rasanya dimasukkan soal penguatkuasaan bagi memberi kuasa kepada kementerian untuk menggantung khidmat seseorang doktor yang mengenakan caj keterlaluan dan mendedahkan nama hospital pakar yang berbuat demikian supaya diketahui orang ramai. Tindakan ini mungkin agak drastik, tetapi itulah dirasakan ‘ubat mujarab’ bagi membendung gejala ini daripada terus berleluasa yang membebankan pesakit.

Kementerian juga perlu melihat kepada aspek caj wad hospital swasta yang sesetengahnya menyamai kadar sewa bilik hotel mewah. Sekurang-kurangnya caj itu dihadkan, mengikut kategori masing-masing seperti kelas satu, dua dan tiga. Apa perlu diletakkan pelbagai kemudahan tidak berkaitan di wad pesakit yang akhirnya menyebabkan caj agak mahal dan memadai kemudahan asas yang munasabah. Satu lagi aspek perlu diteliti dalam pindaan baru itu ialah isu caj rawatan berbeza yang dibayar sendiri pesakit dan pihak insurans seperti dinyatakan Pengarah Bahagian Amalan Perubatan Kementerian Kesihatan, Dr Mohd Khairi Yakub. Kadang-kala pesakit tidak tahu berapa banyak caj dikenakan kerana ada hospital swasta menghantar terus bil rawatan kepada majikan.

Berita Harian