Mengikut catatan sejarah, pengkajian cakerawala telah digunakan sebagai rujukan sewaktu detik kemerdekaan. Sebelum Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj mengetuai rombongan ke London untuk berunding tentang tuntutan kemerdekaan dengan kerajaan Inggeris pada 1 Januari 1956, Tunku telah meminta nasihat daripada Allahyarham Sheikh Abdullah Fahim (datuk kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) yang merupakan Mufti Kerajaan Pulau Pinang ketika itu yang juga seorang tokoh dalam bidang ilmu falak. Beliau mempunyai firasat dan kasyaf agar tarikh yang baik dapat dipilih bagi kemerdekaan Tanah Melayu.
Syeikh Abdullah Fahim menyebut dalam bahasa Arab "am khir atana" (tahun baik datang kepada kita) bagi hari Sabtu, 31 Ogos 1957. Beliau berpesan supaya jika tarikh untuk pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu tidak pada 31 Ogos 1957, maka pada tahun-tahun berikutnya sebelum tahun 1962 adalah tidak baik bagi orang Melayu untuk mengisytiharkan kemerdekaan. Jika kemerdekaan itu tidak dapat disambut pada tarikh yang dikehendaki, beliau meminta supaya menunggu sehingga lima tahun lagi iaitu pada hari Jumaat 31 Ogos 1962.
Mengambil kira hakikat ini, atas ilham pilihan tarikh kemerdekaan yang dibuat oleh Syeikh Abdullah Fahim, tentu ada sebab yang berpatutan yang mendorong tarikh 31 Ogos 1957 ini dipilih, istimewanya mungkin dari kedudukan buruj-buruj bintang yang boleh kelihatan pada waktu Maghrib sempena detik kemerdekaan negara 1957.
Menurut seorang guru dari sekolah agama Daeratul Maarif al Wataniah di Kepala Batas, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang bahawa sejenis alat yang digelar astrolab kepunyaan Syeikh Abdullah Fahim ada disimpan di bilik pengetua sekolah tersebut dan dikatakan bahawa Syeikh Abdullah Fahim biasa menggunakan alat astrolab ini bagi menghitung pergerakan cakerawala terutamanya buruj-buruj bintang.
Kajian yang dilakukan menunjukkan bahawa pada malam kemerdekaan didapati empat buah buruj sedang berada di ufuk barat sejurus selepas terbenam matahari pada jam 7.19 malam, 30 Ogos 1957 bersamaan 4 Safar 1377 Hijrah malam Sabtu. Buruj-buruj tersebut ialah buruj Scorpio, buruj Libra, buruj Virgo dan buruj Kapal Layar.
Dipetik dari majalah i, bil 63 Januari 2008.