Khamis, 3 Januari 2008

Bekas ratu didakwa menculik


TUCSON - Seorang bekas ratu cantik yang sedang menuntut dalam jurusan undang-undang dituduh menculik, menggigit serta mengancam bekas teman lelakinya dengan menggunakan sepucuk pistol. Wanita berkenaan, Kumari Fulbright, 25, juga berhadapan dengan hukuman penjara untuk tempoh yang lama jika dia didapati bersalah oleh mahkamah.

Ratu cantik yang bakal memulakan pengajian tahun kedua itu pernah bertanding dalam acara Ratu Cantik Arizona pada 2005 dan 2006 selain pernah bertugas sebagai kerani untuk hakim persekutuan, Raner Collins. Dalam kejadian pada awal Disember lepas, Fulbright dituduh menahan dan mendera bekas teman lelakinya yang berusia 24 tahun dengan bantuan tiga lelaki lain termasuk bekas kekasihnya.

Pihak berkuasa berkata, perbalahan Fulbright itu dengan bekas teman lelakinya terjadi selepas wanita itu mendapati barang kemas yang dihadiahkan oleh seorang lagi bekas kekasihnya telah dicuri oleh si mangsa. Fulbright mengundang mangsa berkenaan ke pangsapuri miliknya dan meminta lelaki itu menunggu seketika kerana dia mahu mandi, kata jurucakap polis, Sarjan Fabian Pacheco.

Dua lelaki kemudian tiba-tiba muncul dan bertindak mengikat mangsa dengan tali serta pita perekat sambil menuduh lelaki itu mencuri barangan kemas serta diugut akan ditembak dengan pistol, kata Pacheco. Sebaik selesai mandi, Fulbright didakwa terus menerkam mangsa dan menggigit lengan, tangan kanan serta telinga dan kemudian mengacu pisau ke kepala mangsa sambil mengugut untuk membunuhnya.

Pihak berkuasa berkata, lelaki itu kemudian dipindahkan ke rumah lain di mana dia terus didera tetapi mangsa kemudian dibawa semula ke rumah Fulbright sambil dikawal oleh wanita itu dengan senjata api. Namun, lelaki berkenaan berjaya melepaskan ikatan di tangannya lalu merampas senjata api yang dipegang Fulbright sebelum bergelut dan melarikan diri.

Laporan polis oleh mangsa mendakwa suspek mencuri dompet dengan wang sebanyak AS$600 (RM1,984), seunit telefon bimbit dan sebuah beg bimbit.

- AP