Heath Ledger
NEW YORK: Enam jenis ubat berlainan ditemui dalam pangsapuri bintang Hollywood, Heath Ledger, termasuk ubat antikemurungan dan ubat tidur walaupun punca sebenar kematiannya tidak akan diketahui untuk beberapa hari lagi selepas bedah siasat awal tidak meyakinkan.
Wang kertas AS$20 (RM66.80) yang bergulung turut ditemui di atas lantai berhampiran katil pelakon kelahiran Australia itu tetapi ujian makmal tidak mengesan sebarang sisa dadah, kata pegawai kelmarin. Polis juga berkata dia dadah terlarang ditemui dalam pangsapuri itu.
Di antara ubat yang ditemui ialah pil merawat masalah sukar tidur dan kebimbangan, dan antihistamine, menurut pegawai penguat kuasa undang-undang. Tiga daripada ubat itu dipreskrip di Eropah, kata sumber. Ledger baru-baru ini menjalani penggambaran filem di London.
Wang kertas AS$20 ditemui di atas lantai berhampiran katil Ledger, dan jurucakap Jabatan Polis New York, Paul Browne, berkata ujian makmal tidak menemui bukti ia digunakan untuk menyedut dadah.
Ledger ditemui mati Selasa lalu oleh pembantu rumahnya dan pakar urut terapi terbaring berbogel dan muka menghadap katilnya, kata polis.
Pil ditemui dalam botol di bilik tidur dan bilik air pelakon itu, dan polis berkata punca kematian adalah kemungkinan terlebih dos dan ia satu kemalangan.
Jurucakap pejabat pemeriksa kesihatan, Ellen Borakove, berkata bedah siasat ke atas pelakon berusia 28 tahun itu tidak meyakinkan dan lebih banyak akan diketahui dalam masa 10 hari apabila lebih banyak ujian siap.
Kematian bintang itu mengejutkan keluarga, peminat dan rakannya.
"Bekerja dengan Heath adalah antara kegembiraan sebenar dalam hidup saya. Dia membawakan watak Ennis lebih dari apa yang kita dapat bayangkan - dahagakan kehidupan, cinta dan kebenaran, dan kelembutan yang membuatkan sesiapa yang mengenalinya akan menyayanginya. Kematiannya amat menyedihkan," kata Ang Lee, yang mengarah Ledger dalam filem Brokeback Mountain.
Bercakap di Australia, bapa Ledger menyifatkan kematian itu 'tragik, belum masanya dan kemalangan.'
- AP