Khamis, 24 Januari 2008

Singapura tahan 2 lelaki mengikut ISA


SINGAPURA: Republik Singapura semalam menahan dua lelaki mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas dakwaan menyebarkan idea radikal dan merancang membuat bom yang boleh mewujudkan ancaman pengganas.

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dalam satu kenyataan hari ini berkata Muhammad Zamri Abdullah, dan Maksham Mohd Shah, yang kedua-duanya berusia 26 tahun, 26, ditahan pada 5 Disember lalu.

Seorang lagi lelaki, Mohammad Taufik Andjah Asmara, 26, yang turut dipengaruhi mereka berdua pada mulanya, tetapi kemudian bertindak menjauhkan diri, dikenakan perintah kediaman terhad.

Kerajaan mendakwa Zamri dipengaruhi idea radikal menerusi propaganda radikal dalam bahan bercetak, video dan Internet, sehingga beliau berlepas keluar negara untuk cuba menyertai rangkaian Mujahidin, agar dapat berjihad di luar negara dan mati syahid.

Sejak 2003 Zamri turut menyebarkan idea radikalnya kepada rakan-rakan dan berjaya mempengaruhi Maksham serta Taufik dengan ideologi jihad bersenjata.

Kementerian itu berkata pada awal tahun 2006, Zamri mendakwa kononnya menjadi wakil Singapura bagi sebuah kumpulan radikal asing, dan menjadikan Maksham serta Taufik anggota kumpulan itu dengan cara mengambil bai’ah (sumpah taat setia) terhadapnya.

Pada November 2006, Zamri dan Maksham berlepas keluar negara untuk mendapatkan bahan-bahan jihad dan mengambil bai’ah bersama pemimpin kumpulan radikal dan militan bagi membolehkan mereka menyertai rangkaian Mujahidin asing.

Zamri percaya rangkaian itu akan membolehkan mereka mendapat latihan, sekaligus membolehkan mereka ke luar negara untuk berjihad di tempat seperti Afghanistan, Palestin dan Chechnya.

Bagaimanapun beliau gagal menjalankan bai’ah, kerana tidak dapat mengadakan pertemuan dengan seseorang yang dikatakan pemimpin kumpulan pengganas.

Kenyataan itu berkata Maksham menerima idea yang dibawa oleh Zamri sejak tahun 2003, dan menampilkan idea radikal sendiri, yang termasuk membina alat letupan bagi kegunaan jihad bersenjata.

Beliau mula membuat uji kaji dengan bunga api untuk membuat bom dan turut mendapat ilham menerusi laporan berita yang menunjukkan bom api digunakan dalam serangan.

Maksham kemudian memutuskan untuk berlepas keluar negara bagi mendapatkan sumber yang biasa digunakan untuk membuat letupan itu.

Taufik diperkenalkan kepada Zamri oleh Maksham pada tahun 2003 dan kemudian dipengaruhi oleh ajaran radikal Zamri dan juga Maksham.

Sementara itu, lima anggota Jemaah Islamiah (JI) yang ditahan, pula dibebaskan selepas tempoh tahanan mereka tamat.

- Bernama