KUALA LUMPUR - Malang nasib seorang pelajar tingkatan dua apabila dia pengsan selama 15 jam selepas dipaksa minum sejenis minuman yang dimasukkan dalam tin.
Sedar-sedar pada keesokan harinya, dia mendapati dirinya dalam keadaan tidak berpakaian.
Kejadian tersebut berlaku pukul 4 petang, Sabtu lalu, selepas mangsa berusia 14 tahun itu pergi ke sebuah hotel di Chow Kit untuk berjumpa dengan lelaki yang baru beberapa minggu dikenalinya.
"Di hotel itu, mangsa pada mulanya enggan naik ke bilik hotel tetapi selepas kekasihnya memaklumkan dia mempunyai beberapa perkara 'rahsia' untuk dibincangkan mangsa akhirnya setuju naik ke hotel tersebut,'' kata jurucakap polis.
Menurutnya, sebaik mangsa memasuki bilik hotel itu, suspek terus mengunci pintu dan terus memaksa mangsa minum sejenis minuman yang diisi di dalam tin.
"Sebaik minum mangsa terus tidak sedarkan diri dan hanya terjaga pukul 10 pagi pada keesokan harinya,'' kata beliau.
Mangsa terkejut dan suspek kemudiannya terus menghantar mangsa pulang ke rumahnya.
Sebelum beredar suspek menghulurkan wang RM60 sebagai 'upah' kepada mangsa dengan apa yang berlaku dalam tempoh 15 jam semasa mangsa pengsan.
Sebelum beredar suspek menghulurkan wang RM60 sebagai 'upah' kepada mangsa dengan apa yang berlaku dalam tempoh 15 jam semasa mangsa pengsan.
Jurucakap polis itu memberitahu, tujuh jam selepas mangsa berada di rumah, suspek telah menghubungi mangsa dan menyuruhnya datang sekali lagi ke hotel tersebut dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya.
"Mangsa yang termakan kata-kata manis suspek telah pergi menemui suspek dan sekali lagi dia dipaksa minum dan pengsan semalaman,'' katanya.
Suspek kemudiannya telah menghantar mangsa pulang pada keesokan harinya pukul 10 pagi, Isnin tetapi terlupa hendak memberi mangsa wang RM60.
Jurucakap polis memberitahu, pada pukul 6 petang hari sama, mangsa terserempak dengan suspek ketika dia sedang berjalan di sebuah pasar raya di Jalan Tun Abdul Rahman.
Suspek mengajak mangsa ke hotel tetapi mangsa enggan menyebabkan suspek geram dan bertindak menolak mangsa serta menarik tangan dan rambutnya.
"Mangsa yang mulai rimas dengan kelakuan suspek telah menghubungi ibunya sebelum wanita itu membuat laporan polis,'' katanya.
Polis yang menyiasat latar belakang suspek mendapati dia merupakan rakyat Indonesia berusia 20-an manakala mangsa juga merupakan rakyat senegara suspek.
Lelaki itu ditahan beberapa jam selepas itu dan kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur bagi membantu siasatan mengikut mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu rogol.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II, Ku Chin Wah mengesahkan penahanan lelaki itu yang berkaitan dengan kes rogol.
Oleh TURMADZI MADUN
Kosmo!