Seorang tukang urut yang juga saksi pertama yang menemui mayat Ledger memberitahu, dia sempat menelefon rakan aktor berkenaan, Mary-Kate Olsen sebanyak dua kali sebelum menghubungi pasukan keselamatan, 911.
Pihak berkuasa sendiri sudah mengesahkan panggilan yang dibuat ke atas Olsen.
Tukang urut, Diana Wolozin tiba di kediaman Ledger untuk memberikan khidmat urutan pada pukul 2.45 petang Selasa lalu.
Setelah Ledger tidak keluar dari kamar tidurnya, dia terus mendail telefon bimbit Ledger, namun tiada sebarang jawapan.
Lalu, dia memberanikan diri memasuki bilik aktor tersebut dan menjumpai Ledger terbaring di katil yang juga berdekatan dengan meja urutan.
Pastinya, ia mengejutkan Diana lebih-lebih lagi Ledger tidak memberi apa-apa reaksi sewaktu dia cuba memanggil lelaki berusia 28 tahun itu.
Diana yang mengetahui hubungan rapat antara Ledger dan Olsen terus menelefon aktres itu yang berada di California menerusi talian terus di telefon bimbit Ledger bagi mendapatkan bantuan.
Olsen, 21, yang terkejut dengan insiden itu terus memberitahu Diana dia sendiri akan memanggil pihak sekuritinya di New York bagi memberi pertolongan ke atas Ledger.
Diana yang risau menghubungi Olsen semula, namun pelakon jelita itu mengatakan dia sendiri akan menghubungi 911.
Pasukan perubatan tiba di apartmen Ledger pada masa sama munculnya orang-orang suruhan Olsen.
Sumber mengesahkan maklumat itu sudah pun dilaporkan kepada New York Times kerana ia seolah-olah menunjukkan misteri kematian Ledger ada kaitan dengan Olsen.
Ada khabar angin sebelum ini menjelaskan, Ledger sebenarnya meninggal dunia di apartmen Olsen dan bukannya di kediamannya sendiri.
Kosmo!