KUALA TERENGGANU – Geram dengan tindakan seorang penumpang bas yang meraba badannya, seorang wanita bertindak berani dengan menumbuk muka lelaki tersebut.
Kejadian itu menyebabkan mangsa dan lelaki itu bergelut sehingga pemandu bas terpaksa masuk campur dan meleraikan kedua-dua mereka.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah II negeri, K. Manoharan berkata, kejadian tersebut membabitkan seorang penolong akauntan yang menaiki sebuah bas ekspres dari Hentian Bas Klang ke Terengganu pada 25 Januari lalu.
Menurut beliau, ketika mangsa berusia 25 tahun itu tidur, seorang penumpang lelaki yang duduk di sebelahnya mula meraba pada bahagian kaki, pinggul serta tangan mangsa.
Katanya, kerana takut, mangsa yang berasal dari bandar ini buat-buat tidur nyenyak.
Namun, Manoharan ketika ditemui di pejabatnya di sini semalam memberitahu, apabila mangsa membuka mata, kelihatan suspek pula berpura-pura tidur.
Sebaik tiba di Chendering, suspek bangun dan mahu turun.
Mangsa yang marah dengan perbuatan suspek itu bertindak menumbuk muka suspek sehingga tercetus pergelutan antara mereka.
“Pemandu bas yang terkejut dengan kejadian itu telah melerai mereka dan membawa suspek ke Balai Polis Chendering bagi melaporkan kejadian berkenaan pukul 4.50 pagi,” katanya.
Jelasnya, suspek berusia 29 tahun berasal dari Rusila, Marang dan bekerja sebagai pembuat kapal di Klang, Selangor telah ditahan.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana cabul.
Kosmo!