Ahad, 27 Januari 2008

Perginya Bapa Pembangunan Indonesia


Semangat patriotisme yang mendalam telah merubah perjalanan hidup anak petani yang pada awalnya hanya bercita-cita menjadi kerani. Bekas Presiden Republik Indonesia ini bukan saja berjaya mengubah nasib 200 juta rakyatnya, bahkan mencipta pelbagai sejarah sepanjang 32 tahun pemerintahan beliau.

JIKA ego selalu dikaitkan dengan pemimpin yang hebat dan berkarisma, lelaki ini tidak pernah membenarkan mimik muka menguasai wajahnya. Walaupun pernah menjadi jeneral tentera bertaraf lima bintang dan menjadi pemimpin paling lama mengepalai Republik Indonesia iaitu selama 32 tahun, lelaki ini sebenarnya seorang yang sangat merendah diri.

Percaya atau tidak, selama lebih tiga dekad menjadi pemimpin agung, beliau tidak pernah membina apa-apa patung atau arca dirinya. Malah, tiada taman atau jalan di republik itu yang diberikan nama sempena namanya.

Namun, legasi yang ditinggalkan beliau hakikatnya, lebih hebat untuk sesiapa sahaja, bukan sahaja di nusantara bahkan seluruh dunia untuk mengingatinya. Beliau adalah lelaki pemilik kepada nama agung, Muhammad Soeharto atau sering dieja Suharto.

Selepas menghabiskan seluruh hidupnya demi perjuangan sebuah negara bernama Indonesia baik semasa menentang Belanda, Komunis, membangunkan ekonomi republik itu dan mendepani kejatuhan yang memalukan, semalam catatan diari perjuangan lelaki itu berakhir.

Setelah berada dalam keadaan kritikal sejak 4 Januari lalu, semalam tepat pukul 1.10 petang waktu tempatan (2.10 petang waktu Malaysia), Suharto menghembus nafas terakhir pada usia 86 tahun.

Pengumuman dibuat oleh bekas Menteri Setiausaha Negara Indonesia, Moerdiono melalui siaran sebuah radio tempatan ke seluruh negara sejurus selepas doktor yang merawat bekas presiden kedua itu mengesahkan kematian Suharto.

Selepas sepanjang bulan Januari 2008 kumpulan doktor yang merawat Suharto mengumumkan ketidaktentuan tahap kesihatannya, semalam bekas presiden itu diisytiharkan berada dalam keadaan paling cemas dan kritikal di Hospital Pusat Pertamina, Jakarta. Bekas Presiden itu terpaksa bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan selain pelbagai organ badannya gagal berfungsi.

Enam anak Suharto hasil perkahwinannya dengan Siti Hartinah ialah Siti Hardiyanti Hastuti, Sigit Harjojudanto, Bambang Trihatmodjo, Siti Hediati Herijadi, Hutomo Mandala Putra dan Siti Hutami Endang Adiningsih berada di sisi beliau sejak malam Sabtu lalu.

Walaupun mungkin ramai yang menyifatkan zaman di bawah pemerintahan Suharto penuh dengan amalan diktator, tetapi tiada siapa yang dapat menafikan zaman kepimpinannya juga dianggap sebagai tempoh paling makmur untuk lebih 200 juta rakyat Indonesia.

Kata pepatah Inggeris, ‘Anda terpaksa menjadi kejam untuk menjadi baik’ mungkin merujuk kepada tindakannya itu. Namun, gelaran Bapa Pembangunan Indonesia sudah cukup untuk menggambarkan betapa tiada siapa dapat menafikan kemodenan dan kemajuan ekonomi yang dibina oleh lelaki yang kerap dipanggil Pak Harto di Indonesia.

“Beliau telah menerajui Indonesia jauh daripada kekalutan ekonomi dan hidup penuh mewah. Tapi selepas 32 tahun masanya tiba juga untuk beliau berundur,” kata Robert Cribbb, seorang pakar sejarah di Universiti Nasional Australia.

Membuka kembali diari hidupnya, Suharto dilahirkan pada 8 Jun 1921 di sebuah perkampungan miskin di bahagian tengah Pulau Jawa. Ketika itu Indonesia di bawah jajahan Belanda.

Malangnya, kedua-dua ibu bapanya bercerai sebaik beliau dilahirkan. Sebagai anak tunggal kepada pasangan petani, pada asalnya Suharto hanya bercita-cita untuk menjadi seorang kerani bank.

Namun, semangat patriotisme akhirnya menyebabkan dia menyertai tentera pada tahun 1940 dan Akademi Ketenteraan. Bermula dari bawah dengan pangkat sarjan, Suharto mendaki satu demi satu tangga jawatan tentera komandan, komandan rejimen, mejar, komandan batalion, sehingga bertaraf jeneral besar.

Nama Suharto mula disebut apabila pasukan tentera di bawah kepimpinannya pada tahun 1945 berjaya menguasai semula Yogyakarta dalam masa enam jam dari tangan Belanda.

Tetapi salah satu daripada kejayaan besar Suharto ialah apabila mengamankan Indonesia setelah membersih dan membubarkan Parti Komunis Indonesia. Walaubagaimanapun, pemutihan diktator Suharto sehingga menjatuhkan hukuman mati kepada individu yang walaupun hanya disyaki komunis, sedikit-sebanyak mencalar imejnya. Bahkan dipersoal dan ingin dibawa kemuka pengadilan hingga hari ini.

Selepas kemerosotan kesihatan Presiden Pertama Indonesia, Sukarno, Suharto dilantik sebagai presiden sementara dan kemudian diangkat oleh Parlimen Rakyat Sementara (MPR) sebagai presiden pada 21 Mac 1967.

Walaupun bersikap tegas lantaran asuhan tentera yang diterimanya, tetapi ramai yang terkejut antara tindakan paling awal dilakukan oleh Suharto sebaik mendapat kuasa sekitar 1966 ialah dengan menamatkan konfrontasi terhadap Malaysia.

“Suharto memudahkan perhubungan antara Malaysia dengan Indonesia yang selepas itu semakin menjadi akrab. Beliau yang menerajui semangat serumpun,” kata bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir Mohamad ketika menggambarkan Suharto baru-baru ini. Suharto juga adalah antara pemimpin peneraju yang membentuk Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).

Program memodenkan Indonesia dengan tunjang ekonomi dimulakan Suharto dengan penuh bijaksana. Beliau mengambil ramai teknokrat dan ahli ekonomi berpendidikan Barat dan liberal yang sebelumnya tidak sependapat dengan Sukarno yang cenderung bersifat sosialis.
Kebanyakan daripada teknokrat yang diambil oleh Suharto mempunyai kelulusan dari Universiti Berkeley, Amerika Syarikat (AS) dalam bidang ekonomi, industri dan kewangan sehingga mereka digelar sebagai Mafia Berkeley.

Kewibawaan Suharto memang tidak dapat disangkal. Mengambil alih tampuk pemerintahan daripada Sukarno ketika ekonomi Indonesia sedang merudum, inflasi tidak terkawal dan kemiskinan di mana-mana sahaja, Suharto melonjakkan pertumbuhan ekonomi Indonesia selepas tahun 70-an.

Mendapat bantuan ekonomi dan kewangan hasil hubungan erat dengan negara maju semakin menyuntik ekonomi Indonesia. Tidak hairanlah, dari sektor konglomerat cari gali minyak sehinggalah pengeluaran beras dan kelapa sawit, Indonesia antara pemain utama dunia.

Namun, pemerintahan Suharto yang menafikan hak asasi rakyat selain menghalang suara media, akhirnya perlahan-lahan memakan dirinya. Halangan bersuara menyebabkan rasuah semakin bermaharajalela di kalangan menteri, pegawai sehingga kakitangan biasa dalam kerajaan.


Info Suharto

* Nama sebenar Suharto - Muhammad Soeharto juga digelar Pak Harto.

* Dilahirkan pada 8 Jun 1921 di Kemusuk, Yogyakarta - meninggal dunia pada 27 Januari 2008 pada usia 86 tahun.

* Menyertai tentera pada tahun 1940. Mempunyai karier ketenteraan yang panjang bermula dari sarjan sehinggalah jeneral besar.

* Suharto dipilih sebagai Presiden Indonesia oleh Parlimen Rakyat Sementara (MPR) pada 21 Mac 1967.

* Presiden kesua Indonesia itu dilantik MPR sebagai presiden sebanyak enam kali berturut-turut. Tempoh pemerintahan selama 32 tahun itu adalah antara tempoh kepimpinan paling panjang oleh seorang presiden negara pada kurun ini.

* Suharto digelar Bapa Pembangunan Indonesia kerana legasi pembangunan yang ditinggalkannya.

* Antara langkah pembangunan Indonesia oleh Suharto ialah dengan membawa teknokrat dan ahli ekonomi dari Universiti Berkeley. Kumpulan teknokrat ini digelar Mafia Berkeley.

* Empayar pemerintahan Suharto tumbang pada tahun 1989 apabila kegawatan ekonomi dan korupsi menguasai kepimpinan jeneral itu.

* Dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan korupsi bernilai AS$571 juta. Badan antarabangsa mendedahkan nilai aset Suharto berjumlah antara AS$15 bilion hingga AS$35 bilion.

* Suharto menamatkan zaman bujangnya pada usia 26 tahun pada tahun 1947 apabila mengahwini Siti Hartinah, 24. Siti Hartinah juga dipanggil sebagai Ibu Tien. Bekas wanita pertama Indonesia ini menghembuskan nafas terakhir pada tahun 1996 dan tidak sempat menyaksikan zaman kejatuhan suaminya.

* Hasil perkahwinan mereka dikurniakan enam cahayamata iaitu Siti Hardiyanti Hastuti, Sigit Harjojudanto, Bambang Trihatmodjo, Siti Hediati Herijadi, Hutomo Mandala Putra dan Siti Hutami Endang Adiningsih.

Oleh ZAMBRI RAMBLI
Kosmo!