Khamis, 31 Januari 2008

Gelaran wira negara bagi Suharto jadi isu


Cadangan Golkar cetur reaksi berbeza rakyat Indonesia

JAKARTA: Indonesia mula membahaskan sama ada bekas Presiden Suharto wajar diisytiharkan sebagai pahlawan negara, tidak sampai seminggu selepas kematiannya, meskipun pemerintahannya selama 32 tahun dicemari dakwaan mencabul hak asasi manusia dan gejala rasuah. Suharto yang memerintah Indonesia secara kuku besi sebelum disingkirkan pada 1998 di tengah kekecohan politik dan ekonomi, meninggal dunia Ahad lalu pada usia 86 tahun disebabkan kegagalan pelbagai organ penting untuk berfungsi.

Rakyat Indonesia kini berbelah bagi mengenai rekod Suharto. Ramai memberi pujian kepada bekas jeneral tentera itu kerana mengeluarkan berjuta rakyat Indonesia daripada kancah kemiskinan. Tetapi, ramai lagi menyalahkannya atas budaya rasuah yang mendasari negara itu sehingga hari ini dan memberi banyak lesen perniagaan kepada keluarga dan rakannya. Penyokong, termasuk anggota parti politik terbesar Indonesia, Golkar, menggesa kerajaan mengisytiharkan Suharto sebagai wira negara kerana sumbangannya, manakala pembangkang berkata beliau tidak layak menerima penghormatan itu.

"Kehidupan Pak Harto umpama buku terbuka. Semua orang mengiktiraf apa yang dilakukannya. Seorang wira juga seorang manusia tetapi kebaikan yang dilakukan mengatasi yang buruk," kata ahli perundangan Golkar, Slamet Effendi Yusuf. Perbahasan itu membangkitkan kenangan lama mengenai presiden pertama Indonesia, Sukarno, yang juga diaibkan apabila dipaksa meletak jawatan di tengah kekacauan politik dan ekonomi pada 1966.

Beliau kemudian diberi status wira negara pada 1980-an selepas kekal popular. Dikeji dan dikutuk pada awal tahun selepas penyingkiran memalukan, Suharto sebaliknya mendapat simpati rakyat ketika sakit sehingga kematiannya. Stesen televisyen, sebahagiannya dikaitkan dengan keluarga bekas pemimpin itu, masih menyiarkan zikir memuji tokoh berkenaan.

Bekas presiden itu dikebumikan dalam upacara tentera dalam majlis diketuai Presiden Susilo Bambang Yudhoyono. Ketika beliau terlantar di hospital, golongan elit negara itu bergegas ke sisinya untuk mendoakannya. Timbalan Presiden Indonesia, Jusuf Kalla, pengerusi Golkar, berkata terdapat kriteria untuk menganugerahkan seseorang sebagai wira negara tetapi enggan memberitahu sama ada Suharto memenuhi syarat itu, lapor agensi berita Antara. Rakyat biasa Indonesia membawa perbahasan itu ke forum perbincangan internet dan ruang pendapat di akhbar. "Gelaran wira langsung tidak sesuai untuknya kecuali beliau mengembali semua wang kepada negara," menurut komen yang disiarkan di laman web Detik.com, merujuk kepada tuduhan terhadap bekas presiden itu. Pengkritik berkata, Suharto dan keluarganya mengumpul kekayaan mencecah AS$45 bilion (RM144 bilion) dalam bentuk rasuah atau perjanjian.

Transparency International meletakkan aset Suharto sebanyak AS$15 hingga AS$35 bilion (RM48 hingga RM112 bilion) atau 1.3 peratus daripada keluarga dalam negara kasar. Suharto dan keluarganya menafikan sebarang salah laku.

- Reuters