Calon tidak wajar salah guna keterbukaan, jangan lupa matlamat sebenar
LANGKAH terbaru bagi memantapkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi pengambilan pesara polis untuk berkhidmat, selain membina balai baru dan pondok komuniti sebagai usaha pencegahan jenayah, menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk memastikan keselamatan rakyat terus terjamin. Peningkatan kadar jenayah memerlukan polis mengambil pendekatan segera dan jangka panjang supaya rakyat dan orang luar yang datang ke negara ini, sama ada untuk melabur, bercuti atau bekerja sentiasa berasa selamat. Pengambilan pesara memudahkan tugasan atau memberi latihan kerana mereka mempunyai pengalaman dalam pencegahan jenayah. Majoriti anggota yang bakal ditawarkan berkhidmat semula itu pernah melalui pelbagai pengalaman untuk dikongsi bersama rekrut di pusat latihan. Pengambilan pegawai dan anggota berpangkat daripada Sarjan hingga Senior Asisten Komisioner, untuk menjadi tenaga pengajar di pusat latihan yang akan dibina di setiap negeri, dapat mengatasi masalah kekurangan jurulatih berpengalaman. Gabungan pengalaman dan kaedah terkini bagi melatih rekrut baru yang dijangka meningkat sehingga 133 peratus, iaitu 3,000 rekrut setahun kepada 7,000 rekrut bukan suatu tugas yang mudah. Kita berharap pesara polis dapat menyesuaikan pengalaman mereka dengan bentuk jenayah semasa yang semakin rumit, bukan hanya menceritakan pengalaman ketika berkhidmat dulu kerana cabaran sekarang sudah jauh berbeza.
Pada masa sama, kita berpendapat langkah memendekkan latihan rekrut daripada enam bulan kepada tiga bulan perlu dikaji semula. Kita tidak mahu dalam usaha PDRM menambah jumlah anggota untuk memenuhi keperluan semasa, kualiti latihan terabai yang mungkin memberi kesan negatif jangka panjang. Bagaimanapun, kita percaya langkah meningkatkan jumlah anggota sehingga 150,000 polis pada 2012, sedikit sebanyak dapat menangani masalah yang dihadapi sekarang. Sebelum ini, sukar untuk melihat kelibat anggota polis kerana tumpuan lebih diberikan di kawasan bandar utama dengan jumlah anggota mencecah 100,000 kini, ia tentu tidak mampu memantau keseluruhan kawasan didiami hampir 27 juta penduduk di seluruh negara. Oleh itu, kita menyambut baik usaha menempatkan polis komuniti terutama di negeri kritikal iaitu Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Selangor dan Johor yang kadar jenayahnya semakin membimbangkan. Penduduk akan lebih yakin dengan kehadiran mereka di kawasan masing-masing untuk menangani masalah jenayah dan penagihan dadah.
Pembinaan lebih banyak balai polis baru, selain pondok komuniti di beberapa negeri yang mencatatkan peningkatan kadar jenayah dapat memberi keyakinan kepada penduduk mengenai keselamatan mereka. Pondok polis komuniti yang terletak di kawasan perumahan penduduk dijangka menjadi dimensi baru hubungan polis dengan orang awam. Langkah ini pernah dilakukan PDRM pada awal 1960-an sehingga 1970-an dengan anggota polis tinggal di kampung, yang ternyata berkesan dalam menghalang kegiatan tidak diingini di kawasan berkenaan. Malangnya, selepas itu anggota polis yang tinggal ditempatkan di balai menjadikan hubungan antara polis dengan masyarakat tidak serapat dulu. Hubungan rapat penduduk dengan anggota polis dapat membantu mengurangkan jenayah di sesuatu kawasan. Kita berharap usaha bersepadu PDRM ini mendapat sokongan masyarakat kerana kesannya kerjasama itu terbukti berjaya menerusi Rakan Cops yang dilancarkan tidak lama dulu. Banyak kes jenayah dapat diatasi hasil bantuan orang ramai, terutama ragut dan jenayah kecil.
Berita Harian