Bayangkan seekor rodensia seberat satu tan dan hampir sama saiz dengan lembu! Tentu menakutkan!
Saintis Uruguay menemui sebuah fosil haiwan yang membuktikan pernah wujud rodensia sebesar itu dan hidup di bahagian selatan Amerika, kira-kira empat juta tahun dahulu.
Tengkoraknya sahaja bersaiz 50 sentimeter dengan panjang badan dianggarkan 2.4 meter dan berat di antara 750 hingga 1,350 kilogram. Walaupun ada yang mengenal pasti fosil ini sebagai tikus dan sebagainya, namun para pengkaji berkata, haiwan yang dinamakan 'Josephoartigasia monesi' mempunyai kaitan rapat dengan landak atau tikus belanda.
Itu kisah fosil. Ini pula cerita tikus zaman sekarang yang berkemungkinan besar tidak akan 'masuk' ke makmal ujian pada masa akan datang. Dengan larangan yang dikenakan oleh Kesatuan Eropah ke atas uji kaji yang dilakukan terhadap haiwan kecil ini, terutamanya untuk produk kecantikan, banyak syarikat kini mengalih perhatian kepada cip gelas segiempat tepat sebagai alternatif bahan ujian.
Meskipun nampak biasa, namun cip ini mengandungi ratusan titik yang merupakan kultur dan enzim sel manusia. Ia direka untuk menunjukkan reaksi manusia dengan komponen toksik.
Profesor Jonathan Dordick dari Institut Politeknik Rensselaer dan rakan sejawatnya, Profesor Douglas Clark dari Universiti California, Berkeley, menjalankan kajian tersebut dan berharap dapat memasarkan produk kecantikan pada tahun hadapan.
Tidak ada sesiapa menjangkakan cip ini boleh menggantikan peranan tikus sepenuhnya untuk kajian di makmal. Tetapi dipercayai sedikit sebanyak, ia membantu mengelakkan haiwan ini daripada ketidakselesaan dan akhirnya menemui ajal di makmal.
Kosmo!