BUTTERWORTH – Penemuan ikan ganjil yang mempunyai kepala mirip ikan pari sementara ekornya pula seperti ikan yu telah menggemparkan penduduk kampung nelayan Pekan Baru, Teluk Air Tawar di sini semalam.
Ikan itu ditemui oleh empat nelayan dari kampung tersebut di permukaan perairan Muka Head, Pulau Pinang, dekat sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Lebih aneh, bahagian tulang belakang ikan seberat kira-kira 21 kilogram itu diselaputi ketulan-ketulan duri menyerupai batu karang manakala permukaan kulitnya pula keras.
Shahrom Johan, 29, memberitahu, ikan itu ditemui ketika dia bersama tiga rakannya dalam perjalanan balik ke sini selepas turun ke laut menangkap ikan sejak pukul 6.30 pagi.
“Sejurus diangkat ke bot, kami terkejut kerana fizikalnya sangat aneh, kepalanya seperti ikan pari manakala ekornya pula seperti ikan yu,” katanya ketika ditemui pemberita di Jeti Sungai Abduh, di kampung itu di sini semalam.
Ujarnya, bentuk fizikal ikan tersebut agak mengejutkan kerana ada penduduk kampung yang berpengalaman menangkap ikan selama 40 hingga 60 tahun mengakui tidak pernah menemui spesies seumpama itu.
Keanehan ikan itu menggamit perhatian orang kampung yang berpusu-pusu ke jeti bagi melihat dengan lebih dekat fizikal ikan yang tidak pernah mereka lihat sebelum ini.
“Saya tidak pernah tengok ikan seperti ini. Kagum pun ada, takut pun ada,” katanya yang menetap di kampung tersebut sejak kecil dan sudah 14 tahun jadi nelayan.
Bagaimanapun, menurutnya, ikan tersebut mati petang semalam dan disimpan di dalam tong berisi ais di jeti tersebut.
Kosmo!