MEMBUKA satu persatu baju dan pada akhir persembahan sempat melempar tali pinggang kepada khalayak, apa agaknya yang difikirkan oleh pemenang kedua bintang realiti One In A Million (OIAM), Faizal Tahir pada malam ulang tahun ke empat 8TV yang berlangsung di Central Park Avenue, One Utama malam minggu lalu.
Dengan tulisan ‘S’ berwarna merah tertera di dadanya yang terdedah tanpa seurat benang barangkali Faizal yang membuat aksi separuh bogel di pentas persembahan dengan sengaja seolah-olah mahu membuktikan bahawa dia adalah Superman Malaysia seperti jolokan yang diberikan kepadanya.
Tetapi pada satu sisi lain, sedarkah Faizal bahawa perlakuannya itu cukup biadap dan tidak bermoral untuk dipertontonkan kepada seluruh negara?
Sementelah sebagai seorang Muslim, biar rentak muzik yang dibawakannya adalah rock, Faizal harus sedar diri.
Dan barangkali Faizal terlupa bahawa keterujaannya itu mampu membunuh karier yang baru setahun jagung dibina.
Dia juga yang pernah bergelar penyanyi nasyid satu ketika dahulu, dilihat seperti hilang pertimbangan kerana gagal mengawal ketaksubannya tatkala membuat persembahan di pentas.
Ketua Pegawai Eksekutif 8TV, Ahmad Izham Omar yang turut berada di tapak konsert semasa ditemui sejurus konsert berakhir, turut melahirkan rasa terkejutnya dengan aksi Faizal itu dan mengatakan ia pasti akan memberi impak negatif terhadap penyanyi itu.
“Pihak saya memang memandang serius perkara ini. Saya berjanji perkara ini tidak akan berulang lagi. Sepatutnya, dia (Faizal) tahu semua peraturan kerana dia bukannya artis baru.”
Izham bagaimanapun yakin kontroversi itu tidak akan menjejaskan 8TV tetapi apa yang dibimbangkannya adalah reputasi Faizal sebagai penyanyi yang baru sahaja melahirkan satu album bakal terjejas.
“Mungkin dia terlalu taksub semasa buat persembahan sehingga melupakan peraturan yang sepatutnya diikuti. Perkara sebegini tidak bagus untuk kerjayanya,” luah Izham lagi yang menyifatkan perbuatan Faizal itu telah mencacatkan sedikit perjalanan konsert pada malam itu.
Jika aksi berani Faizal dikecam, lain pula ceritanya dengan Suki, juara OIAM yang dilihat gagal meraih perhatian penonton yang hadir walaupun telah cuba untuk memikat hati penonton dengan dua lagu saduran, Never Say dan Girlfriend.
Sungguhpun konsert ini tercalar sedikit, namun, persembahan tujuh lagi penyanyi yang lain telah berjaya menghiburkan penonton.
Antaranya, persembahan bertenaga daripada penyanyi antarabangsa, Che’Nelle yang berjaya mendapat perhatian penonton dengan dua lagu popularnya, I Fell In Love With A DJ dan Hurry Up.
Tambah menarik perhatian ialah kemunculan pertama kali kumpulan Hujan di kaca televisyen, yang dilihat mempunyai peminat yang ramai.
Pujian buat Hujan, kerana persembahan julung kali mereka ini telah memperlihatkan karisma dan membuktikan mereka mempunyai pengikut.
Izham berkata, selain menyambut ulang tahun kelahiran stesen televisyen 8TV, ia juga bertujuan untuk memperkenalkan kepada khalayak muzik genre baru.
“Usaha sebegini yang harus dipupuk untuk memperkembangkan lagi industri muzik tanah air, siapa kata band daripada Malaysia tidak mempunyai peminat, lihat sahaja penonton yang hadir malam ini, kebanyakannya merupakan peminat band indie,” ujar Izham lagi yang akan meneruskan lagi usaha memperkenalkan muzik baru.
Selain mereka, Pop Shuvit, Gerhana Ska Cinta, Bittersweet, Meet Uncle Hussain, Jaclyn Victor dan peserta program realiti So You Think You Can Dance turut memeriahkan lagi konsert yang berlangsung selama dua jam itu.
Apa pun selepas ini, penyanyi yang banyak menimbulkan kontroversi itu (Faizal), pasti tidak akan terlepas dengan segala kontroversi yang diciptakannya itu. Bak kata pepatah, berani buat, berani tanggung. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
Oleh HARYATI KARIM dan FERIDE HIKMET ATAK
Kosmo!