Selain produk pengguna, makanan dan minuman yang enak-enak, The Marktplatz, pasar terbuka di pusat perniagaan Hauptwache yang terkemuka di Frankfurt, turut memperagakan buah belimbing dan buah-buahan eksotik lain yang berwarna-warni. Walaupun buah belimbing diperkenalkan bersama buah durian belanda dan buah naga, namun ia paling digemari oleh warga Jerman.
Malah disifatkan sebagai sesuatu yang mesti dalam senarai beli suri rumah yang akan berbuat apa sahaja demi mendapatkan buah ini yang datang dari hutan tropika Malaysia, Thailand, Indonesia dan beberapa tempat lain.
Krismas, sememangnya diibaratkan oleh para penggemar buah-buahan di Jerman, sebagai "waktu bagi bintang". Ini diakui oleh para pengimport buah-buahan, pakar gourmet, dan mereka yang minat makan yang rata-rata berpendapat buah belimbing kini sesuatu yang `mesti' dalam menu atas pelbagai alasan selain daripada nilai nutrisi dan rasanya.
BELIMBING MENJADI TARIKAN
Dengan rasa masam-manis dan menyegarkan, buah belimbing biasanya digunakan sebagai salah satu daripada ramuan makanan dan untuk membuat salad ayam, selain sebagai sebahagian daripada stew, untuk dimakan terus atau menghiasi koktel dan sebagai pencuci mulut.
"Carambola, nama buah belimbing dalam bahasa Inggeris, merupakan buah yang dipetik semasa masih hijau. Walaupun ia boleh dimakan, ia berasa sangat masam pada peringkat ini. Apabila ia semakin masak buah ini menjadi bertambah manis."
"Lebih lama ia disimpan, warnanya secara perlahan-lahan bertukar kepada kuning cerah. Dengan peredaran masa, buah itu berubah kepada kuning gelap. Ini tidak menjejaskan tekstur buah itu atau kandungan nutrisinya, tetapi menandakan ia sudah cukup masak."
"Mereka yang tidak senang dengan tompok-tompok perang boleh potong dan buang bahagian-bahagian itu. Pada prinsipnya, kulit luar buah yang sudah dicuci boleh juga dimakan bersama benih-benih kecil yang boleh ditemui di dalam buah," jelas jurucakap "aid", sebuah pertubuhan yang berpangkalan di Bonn bagi perlindungan pengguna, makanan dan pertanian. "aid" sejak kebelakangan ini mempromosi nutrisi kaya buah belimbing.
TARIKAN UTAMA BUAH BELIMBING
Buah belimbing, yang merupakan buah baru yang menarik bagi kebanyakan rakyat Jerman, kini tidak asing lagi berbanding apabila ia pertama kali diperkenalkan kepada penduduk Jerman. Bentuk buah belimbing, bintang lima penjuru, juga menjadi tajuk perbahasan dalam ruangan majalah-majalah gourmet, dan terbaru dalam blog yang muncul di Internet.
Serentak dengan itu, kemunculan buah belimbing juga telah menjana minat, khasnya, terhadap Malaysia dan, amnya, terhadap rantau Asia Tenggara di mana tanah yang subur dan hujan yang banyak sangat sesuai bagi penanaman buah ini yang telah menambat hati ramai warga Jerman.
Malaysia dan negara-negara lain di Asia Tenggara merupakan pembekal terbesar di dunia buah belimbing, tetapi para penyelidik Jerman berkata buah itu juga berasal dari India, Brazil dan Israel.
POTENSI EKONOMI BUAH BELIMBING
Dengan minat baik yang ditunjukkan oleh pengguna, para pengeksport Malaysia berada dalam kedudukan baik untuk menembusi pasaran Jerman dan Eropah. Walaupun pempamer buah-buahan dan sayur-sayuran Malaysia ada memperagakan buah belimbing di acara-acara utama seperti Pesta ANUGA di Cologne, pesta makanan terbesar di dunia, ataupun `Green Week' di Berlin, mereka memerlukan pendekatan strategik untuk menembusi pasaran Jerman.
Pendekatan "bidik-dan-tembak" merupakan satu taktik pemasaran tetapi bukan satu strategi, seperti yang diperkatakan oleh ramai pakar Jerman.
Menerusi MATRADE, yang sudah pun mempunyai pejabat di Cologne, kini boleh menawarkan sokongan kepada para pempamer Malaysia yang berminat mengeksport ke Jerman sebagai pasaran paling besar dan paling laris di Eropah.
Para pengeksport di Malaysia juga boleh menganjurkan roadshow serta acara lain untuk mempromosi buah belimbing, betik, jambu batu, buah naga dan buah-buahan lazat lain yang semakin popular kerana nilai-nilai nutrisinya yang menarik warga Jerman yang mencintai proses sembuh semulajadi menerusi makanan dan produk-produk semulajadi di sebalik ubat-ubatan berasaskan kimia.
Memandangkan popularitinya, Tourism Malaysia boleh juga menggunakan buah belimbing untuk mempromosi Malaysia sebagai sebuah destinasi.
"Apa lagi, laluan termudah untuk sampai kepada hati seseorang ialah melalui perutnya," demikian kata Kurt Becker, seorang vendor buah-buahan di tengah-tengah Frankfurt.
Tetapi sehingga ini, Malaysia hanya berada di permukaan. Banyak lagi yang perlu dilakukan di bawah, perniagaan-perniagaan Malaysia perlu merumuskan satu strategi untuk mempromosi barisan produk mereka memandangkan pesaing dari negara-negara lain juga mahu merebut peluang di pasaran Jerman yang menguntungkan. Sementara itu, masa semakin suntuk.
Oleh Manik Mehta
Bernama