Isnin, 14 Januari 2008

Kesesakan Jambatan Pulau Pinang: Apa Punca Dan Kesudahannya?


Terperangkap dalam kesesakan lalu lintas sehingga berjam-jam lamanya bukan lagi perkara luar biasa bagi pengguna Jambatan Pulau Pinang yang sering berulang alik antara Seberang Perai dan bahagian pulau. Kerancakan aktiviti ekonomi di Pulau Pinang terutamanya di bahagian pulau menyebabkan lebih 120,000 kenderaan keluar masuk menggunakan jambatan itu setiap hari dan jumlah itu bertambah kepada 130,000 pada musim perayaan dan cuti sekolah.

Pengendali Jambatan Pulau Pinang, Penang Bridge Sdn Bhd (PBSB) mengenal pasti punca utama kesesakan ialah penutupan satu lorong bagi kedua-dua hala untuk kerja-kerja pelebaran jambatan sepanjang 13.5 km itu serta kemalangan jalan raya. Beberapa orang pengguna tetap Jambatan Pulau mempunyai pandangan sendiri mengenai punca kesesakan lalu lintas di atas jambatan yang mula beroperasi sejak tahun 1985 itu.

Abdul Halim Ahmad, 36, berkata sikap pengguna jambatan itu sendiri yang tidak sabar dan memandu tanpa berhati-hati menyebabkan sering berlaku kemalangan kecil yang menjadi punca kesesakan selama berjam-jam.

"Terutamanya di sebelah pagi ketika semua orang berpusu-pusu masuk ke bahagian pulau untuk pergi kerja dan waktu petang ketika pulang dari kerja, ketika itu ada juga pemandu yang pentingkan diri sendiri dan tidak berhati-hati sehingga menyebabkan berlaku kemalangan," katanya.

Abdul Halim yang merupakan seorang penjawat awam yang bertugas di Komtar, Georgetown berkata beliau yang tinggal di Butterworth dan menggunakan jambatan itu setiap hari terpaksa berdepan dengan kesesakan ketika pergi dan balik dari pejabat.

Seorang lagi pengguna, Asmah Mohd Noor, 28, berkata kenderaan berat yang menggunakan jambatan itu pada waktu puncak juga menyumbang kepada kesesakan lalu lintas.

"Kenderaan banyak pada waktu itu. Semua orang mahu cepat kerana mengejar masa untuk sampai ke tempat kerja. Pada masa itu pula ada kenderaan yang membawa muatan berat lalu di jambatan menyebabkan pergerakan kenderaan bertambah perlahan," katanya yang bertugas di kawasan perindustrian Bayan Lepas.

Asmah yang menjadi pengguna tetap jambatan itu sejak dua tahun lepas berkata, masalah kesesakan itu bukan perkara baru dan beliau mencadangkan kenderaan berat tidak dibenarkan menggunakan jambatan pada waktu puncak. Mengenai alternatif lain seperti menggunakan perkhidmatan feri untuk berulang alik ke tempat kerja, Asmah berkata beliau tidak menggunakan feri kerana terpaksa menunggu giliran agak lama memandangkan ramai juga menggunakan perkhidmatan itu pada waktu pagi dan petang.

Sementara itu, jurucakap Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berkata langkah penting yang boleh dilakukan bagi mengatasi masalah lalu lintas itu ialah tindakan mencegah kemalangan. Antaranya adalah mengkaji kenapa kemalangan sering berlaku di atas jambatan, meletakkan papan tanda amaran di kawasan kemalangan serta mengurangkan had kelajuan daripada 80kmj kepada 60kmj.

Katanya PBSB juga perlu menyediakan pembahagi jalan yang boleh dialihkan untuk membuka lorong tambahan atau mengalihkan laluan ke lorong bertentangan dari mana-mana hala untuk menyuraikan kesesakan lalu lintas. Beberapa langkah sedang dan akan diambil oleh kerajaan bagi mengatasi masalah kesesakan jambatan itu antaranya kerja-kerja melebarkan jambatan sedia ada dan pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang bagi mengurangkan jumlah kenderaan yang lalu di Jambatan Pulau Pinang.

Bagaimanapun, pengguna jambatan terpaksa bersabar kerana kerja-kerja melebarkan Jambatan Pulau Pinang yang dijangka siap pada September 2008 terpaksa dilanjutkan sehingga September 2009 kerana masalah geoteknikal. Manakala pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang sepanjang 24 km yang menghubungkan Batu Kawan di Seberang Perai dan Batu Maung di Pulau Pinang telah dimulakan dan dijangka siap pada Januari 2011.

Bagi mengatasi masalah kesesakan itu juga, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu pada 22 Dis lepas mengarahkan LLM dan PBSB menyediakan perkhidmatan helikopter untuk mengangkat kenderaan yang terbabit kemalangan di atas jambatan bagi menyuraikan lalu lintas. Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan negeri, Datuk Koay Kar Huah berkata kerajaan negeri berharap LLM dan PBSB menyegerakan cadangan itu kerana kesesakan lalu lintas di atas Jambatan Pulau Pinang semakin kritikal.

Beliau berkata kerajaan negeri juga telah mengemukakan dua lagi cadangan dalam perbincangannya bersama syarikat itu sebelum ini iaitu menghalang kenderaan berat memasuki jambatan ketika waktu puncak dan meminta PBSB menggalakkan pengguna berkongsi kenderaan bagi mengurangkan kesesakan di atas jambatan. Katanya selain kenderaan yang bergerak perlahan, kebanyakan kenderaan berat ini bukan sahaja membawa barangan lebihan muatan tetapi kadangkala dalam keadaan yang uzur dan sering rosak di tengah jalan.

"Walaupun cadangan menghalang kenderaan berat menggunakan jambatan pada waktu puncak tidak dipersetujui oleh Menteri Kerja Raya sebelum ini, saya berharap beliau dapat mengkaji semula perkara ini demi kebaikan orang ramai," katanya.

Rata-rata pengguna jambatan Pulau Pinang berharap pihak terbabit seperti PBSB dan LLM termasuk kerajaan negeri mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi mereka.

Laporan Khas Oleh Muna Khalid
Bernama